JENAYAH & MAHKAMAH

JIM Kedah Tahan 91 Pendatang Tanpa Izin Di Kulim, Alor Setar

14/05/2026 05:31 PM

ALOR SETAR, 14 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan 91 pendatang tanpa izin dalam operasi di Kulim dan Kota Setar, semalam. 

JIM Kedah dalam kenyataan hari ini memaklumkan mereka ditahan dalam pelaksanaan Ops Sapu, Ops Kutip dan Ops Selera di tiga premis serta lokasi yang dikenal pasti melalui risikan dan maklumat awam.

“Mereka berusia 15 hingga 57 tahun terdiri daripada 72 Bangladesh, Thailand (10), China (tiga), Pakistan (empat) dan Indonesia (dua).

“Pelbagai kesalahan dikesan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta menyalahgunakan pas atau permit yang dikeluarkan,” menurut kenyataan itu. 

JIM Kedah memaklumkan turut mengeluarkan saman kepada saksi bagi membantu siasatan lanjut.

Semua pendatang tanpa izin itu dihantar ke Depot Imigresen Belantik di Sik untuk dokumentasi dan tindakan lanjut. 

JIM memaklumkan operasi seperti itu akan terus dipergiat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang imigresen disaran menyalurkan maklumat bagi membantu tindakan penguatkuasaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2556961