HAMILTON, 14 Mei (Bernama-Anadolu) -- Amerika Syarikat (AS) pada Rabu memperbaharui tawaran untuk menyediakan bantuan kemanusiaan langsung berjumlah US$100 juta kepada rakyat Cuba, sambil menggesa pembaharuan dan mengkritik kerajaan komunis Havana yang didakwa menolak cadangan bantuan sebelum ini, lapor Agensi Anadolu.
“Amerika Syarikat terus berusaha untuk pembaharuan bermakna terhadap sistem komunis Cuba, yang hanya memperkayakan golongan elit dan menyebabkan rakyat Cuba terus hidup dalam kemiskinan,” kata jurucakap Jabatan Negara AS Tommy Pigott dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu menyebut Setiausaha Negara Marco Rubio, yang merupakan anak kepada imigran dari pulau itu, sebelum ini telah membuat “banyak tawaran secara peribadi” kepada kerajaan Cuba termasuk sokongan bagi “internet satelit percuma dan pantas” serta bantuan kemanusiaan untuk membantu rakyat biasa yang berdepan kesukaran ekonomi.
Menurut Jabatan Negara, pihak berkuasa Cuba enggan membenarkan AS menyalurkan bantuan yang dicadangkan itu.
“Hari ini, Jabatan Negara secara terbuka mengulangi tawaran Amerika Syarikat untuk menyediakan tambahan US$100 juta dalam bentuk bantuan kemanusiaan langsung kepada rakyat Cuba, yang akan diagihkan dengan penyelarasan bersama Gereja Katolik serta pertubuhan kemanusiaan bebas lain yang dipercayai,” kata Pigott.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa bantuan berkenaan akan disalurkan melalui kumpulan bebas, bukannya institusi kerajaan Cuba.
“Keputusan terletak pada rejim Cuba sama ada menerima tawaran bantuan kami atau menolak bantuan penting yang boleh menyelamatkan nyawa, dan akhirnya bertanggungjawab kepada rakyat Cuba kerana menghalang bantuan penting itu,” menurut kenyataan itu.
Menerusi platform media sosial X pada Selasa, Menteri Luar Cuba Bruno Rodriguez Parrilla menafikan wujud sebarang tawaran bantuan daripada AS, sambil menyifatkannya sebagai “cerita dongeng” dan “pembohongan US$100 juta”.
Cuba kini berdepan krisis bahan api ekoran sekatan minyak AS yang dikenakan pada 30 Jan, selain gangguan bekalan elektrik yang meluas.
Presiden AS Donald Trump sebelum ini berulang kali berkata Cuba adalah “sasaran seterusnya” selepas operasi ketenteraan terhadap Iran, dan pulau Caribbean itu akan gagal “tidak lama lagi”.
-- BERNAMA-ANADOLU