DUNIA

Xi Terima Kunjungan Trump Di Beijing

14/05/2026 07:25 PM

BEIJING, 14 Mei (Bernama-dpa) -- Presiden China Xi Jinping menerima kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di Beijing dengan penghormatan ketenteraan pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Rakaman televisyen menunjukkan kedua-dua pemimpin berjabat tangan untuk beberapa ketika sambil saling bertegur sspa.

Trump kemudian berbual ringkas dengan Xi di Dewan Besar Rakyat, yang terletak di tengah-tengah ibu negara China.

Kedua-dua pemimpin itu seterusnya menyapa wakil kerajaan dari kedua-dua negara sebelum berjalan melewati formasi tentera dalam majlis sambutan rasmi berkenaan.

Trump turut bertepuk tangan kepada kanak-kanak yang bersorak sambil memegang bendera kecil AS dan bunga.

Turut hadir tokoh perniagaan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Apple Tim Cook dan pengasas Tesla Elon Musk, serta pegawai kerajaan antaranya Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dan Setiausaha Negara Marco Rubio.

Trump dan Xi kali terakhir bertemu pada Oktober menjelang Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Korea Selatan, ketika kedua-duanya bersetuju menghentikan sementara pertikaian tarif yang sedang berlarutan.

Isu perdagangan juga dijangka menjadi antara topik yang dibincangkan dalam pertemuan mereka pada Khamis.

Bagi AS, sokongan China terhadap Iran serta kemungkinan pengaruh Beijing ke atas Tehran dijangka menjadi antara isu penting.

Sejurus sebelum pertemuan itu bermula, agensi berita Xinhua menggesa hubungan yang stabil antara kedua-dua negara.

Dalam satu ulasan, Xinhua menyatakan hubungan China-AS terlalu penting untuk dibiarkan gagal.

Menurut ulasan itu, penyelarasan antara Beijing dan Washington amat penting dalam isu antarabangsa utama termasuk perdagangan, pasaran kewangan, iklim dan kecerdasan buatan.

-- BERNAMA-dpa

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557044