KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Stesen Keretapi Segambut Utara yang dilancarkan hari ini ialah stesen terbaharu dalam rangkaian Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang dibangunkan menerusi kerjasama awam-swasta dengan kos RM39 juta ditanggung sepenuhnya oleh pemaju.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pembinaan stesen itu antara syarat pembangunan projek berhampiran ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tanpa melibatkan sebarang peruntukan kerajaan.
“Ini merupakan model yang kita alu-alukan kerana kita mengharapkan projek pembangunan baharu yang berdekatan landasan kereta api boleh menggunakan rangkaian kita.
“Kita menggalakkan mereka mengintegrasikan projek itu dengan rangkaian pengangkutan awam dengan syarat mereka perlu menanggung kos untuk membina stesen tersebut,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran stesen itu hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
Loke berkata model pembangunan seperti itu juga telah dilaksanakan termasuk di Stesen Abdullah Hukum dan Stesen Kajang 2 yang memberi manfaat kepada penduduk setempat melalui peningkatan akses kepada perkhidmatan KTMB.
Loke berkata kerjasama itu penting dalam konteks nasional bagi mempercepat penyampaian infrastruktur berkualiti tinggi tanpa menjejaskan aspek tadbir urus, keselamatan dan kelestarian jangka panjang.
“Model ini juga membuktikan sektor swasta tempatan memiliki keupayaan, kepakaran dan disiplin pelaksanaan yang tinggi untuk menyokong agenda pembangunan infrastruktur negara, khususnya apabila disokong oleh kerangka tadbir urus yang jelas, telus dan berintegriti,” katanya.
Stesen Keretapi Segambut Utara dibangunkan melalui kerjasama strategik antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) selaku pemilik dan pengurus aset rel negara, anak syarikat milik penuh UOA Development Bhd iaitu IDP Industrial Development Sdn Bhd selaku pemaju projek United Point Residence yang bersebelahan stesen itu serta KTMB sebagai pengendali operasi perkhidmatan rel.
Pembukaan stesen yang terletak antara Stesen Kepong dan Stesen Segambut juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem pengangkutan awam yang mampan serta mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Loke berkata Stesen Keretapi Segambut Utara dijangka memberi manfaat langsung kepada kawasan tangkapan hampir 90,000 penduduk meliputi Segambut, Kepong, Jinjang dan Mont Kiara dengan unjuran peningkatan melebihi 100,000 orang pada masa depan.
Dari segi kapasiti, beliau berkata stesen itu mampu menampung sehingga 8,000 penumpang sejam bagi setiap arah pada waktu puncak dengan anggaran pengendalian hampir 580,000 penumpang setahun.
“Keupayaan ini bukan sekadar angka statistik sebaliknya membawa implikasi signifikan terhadap pengurangan penggunaan kenderaan persendirian di jalan raya dan meningkatkan tahap kebolehpercayaan serta daya tarikan sistem pengangkutan awam kepada orang ramai,” katanya.
Antara kemudahan disediakan di stesen itu ialah parkir kenderaan, lif, eskalator, laluan pejalan kaki berbumbung serta kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) seperti jubin tactile dan akses tanpa halangan.
Bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan masyarakat, RAC turut mengambil inisiatif menyediakan kemudahan parkir percuma selama tiga bulan sempena pembukaan Stesen Keretapi Segambut Utara.
Sementara itu, Hannah dalam ucapan berkata DBKL bersetuju melanjutkan laluan bas GoKL 13 yang menghubungkan Stesen Keretapi Segambut Utara dengan Stesen MRT Jinjang.
-- BERNAMA