SHAH ALAM, 15 Mei (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini sedang mengumpul cadangan dan dapatan bagi melaksanakan penstrukturan semula politeknik dan kolej komuniti (POLYCC), dalam usaha memperkukuh serta menambah baik institusi berkenaan.
Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata KPT sedang meneliti beberapa aspek utama yang memerlukan penambahbaikan, termasuk isu gaji, laluan kerjaya, pembangunan profesional serta kedudukan pegawai di institusi tersebut.
“Oleh demikian, segala aspek yang perlu dilihat semula. Pada peringkat POLYCC telah ditubuhkan satu jawatankuasa untuk melihat keseluruhan aspek termasuk dari segi kedudukan perundangan yang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI Zon Tengah POLYCC 2026, di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Zambry berkata cadangan yang diperoleh termasuk daripada program hari ini, akan dibawa ke hadapan dan dibentangkan kepada Kabinet apabila ia siap kelak.
Sebelum ini, Zambry dilaporkan berkata kerajaan sedang merangka usaha penstrukturan semula 36 politeknik di seluruh negara, bagi memperkasakan peranannya agar tidak lagi terhad kepada penawaran sijil dan diploma semata-mata, sebaliknya berupaya menawarkan pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana.
Beliau berkata langkah itu, bertujuan memastikan institusi berkenaan mampu memenuhi keperluan industri masa kini dan akan datang, khususnya dalam bidang berteknologi tinggi.
Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI 2026 anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), merupakan platform strategik bagi memperkukuh pembangunan bakat kepimpinan muda dalam kalangan pensyarah dan pentadbir Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Program tersebut dirangka secara berstruktur sebagai inisiatif pembangunan kepimpinan asas yang berteraskan nilai Malaysia MADANI, tadbir urus cemerlang serta pemikiran strategik selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara.
Kembara itu menghimpunkan sekitar 300 orang pensyarah dan pentadbir muda daripada institusi politeknik dan kolej komuniti sekitar Zon Tengah bagi memperkukuh jaringan kepimpinan, meningkatkan kompetensi serta membina kesiapsiagaan pemimpin masa hadapan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Dalam pada itu, Zambry berkata tidak timbul isu pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) berikutan keputusan kerajaan memberi laluan kepada lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) mengikuti program tertentu di institusi pendidikan tinggi awam.
Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan keperluan semasa serta sistem pendidikan sedia ada negara, termasuk syarat berkaitan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
-- BERNAMA