EKONOMI

Malaysia Hab Rantaian Bekalan Pilihan Jika Ketegangan Dagangan AS-China Berlanjutan

15/05/2026 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Malaysia berpotensi muncul sebagai hab rantaian bekalan pilihan bagi firma-firma global sekiranya ketegangan dagangan Amerika Syarikat (AS)-China tidak reda selepas berakhirnya rundingan membabitkan pemimpin kedua-dua negara itu hari ini.

Ahli akademik University of Nottingham Malaysia Dr Tan Chee Meng berkata ini juga sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai kuasa ekonomi pertengahan yang mempunyai kekuatan dalam bidang pembuatan, semikonduktor serta teknologi hijau.

Beliau yang juga Profesor Madya Ekonomi Perniagaan di Fakulti Sains Sosial universiti itu berkata, Malaysia dilihat cenderung meraih manfaat apabila ada syarikat bertindak mempelbagaikan operasi untuk mengelak terlalu bergantung kepada AS mahupun China.

“Jika kedua-dua negara (AS dan China) masih terus bertelagah, negara-negara rakan dagang AS-China mungkin cenderung beralih kepada Malaysia.

“Syarikat-syarikat ini akan meninjau untuk melabur dalam pembuatan, semikonduktor dan teknologi hijau di platform berbeza bagi memastikan rantaian bekalan mereka kekal terjamin tanpa bertindak memusuhi AS atau China.

“Sudah pasti anda tidak mahu berada dalam situasi (dilema) apabila banyak berdagang dengan China yang sebaliknya mencetuskan rasa kurang senang AS dan sebaliknya. Oleh itu, negara kuasa pertengahan dan berkecuali seperti Malaysia ini (berpotensi) dapat meraih banyak manfaat,” katanya ketika menjadi tetamu program Bernama World bertajuk “The Overview of the Xi-Trump Summit” disiarkan oleh Bernama TV hari ini.

Presiden Donald Trump dan delegasinya berlepas pulang dari Beijing hari ini selepas mengakhiri perbincangan dua hari dengan Presiden China Xi Jinping.

“Kedua-dua pemimpin menyifatkan pertemuan itu sebagai berjaya. (Namun) apa yang lebih penting adalah sama ada kedua-dua kuasa besar itu akan berusaha untuk memulihkan hubungan dua hala yang akan memberi kesan terhadap seluruh dunia,” kata Tan.

Rundingan dua hari Trump-Xi itu berlangsung di tengah-tengah ketegangan berterusan membabitkan perdagangan, teknologi, tarif serta isu Taiwan walaupun kedua-dua pemimpin menyuarakan kesediaan untuk mengeratkan hubungan dua kuasa besar dunia itu.

Delegasi Trump turut disertai oleh Pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX Elon Musk, Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Corporation Jensen Huang dan Ketua Pegawai Eksekutif Apple Tim Cook.

Tan berkata kunjungan Trump ke China dengan membawa bersama barisan pemimpin syarikat-syarikat besar itu, turut membuktikan kepentingan hubungan ekonomi AS-China walaupun di masa sama sebarang kemungkinan perbalahan dua negara yang berlarutan, kekal menjadi kebimbangan utama.

“Kapasiti dan kebolehmampuan perdagangan AS banyak bergantung kepada China. Walaupun China memerlukan teknologi tertentu, AS sebaliknya bergantung kepada China dari segi nadir bumi.

“Tanpa nadir bumi, AS tidak boleh buat senjata. Mereka tidak boleh meneruskan teknologi hijau atau melakukan banyak perkara. Ini satu isu besar yang perlu diselesaikan oleh kedua-dua pihak dan (realiti) saling bergantung itu adalah nyata. Pemisahan atau penyahgandingan itu kelihatan tidak mungkin berlaku,” katanya.

Di sebalik kebimbangan itu, Tan bagaimanapun menyifatkan rundingan dua hari berkenaan sebagai signifikan namun tidak semestinya dapat merombak atau mentakrif semula hubungan dua hala AS-China.

Pertemuan itu sebaliknya lebih kepada tindakan AS dan China membina elemen penyerap kejutan di sekitar persaingan struktur yang sedang berlaku sekarang.

“Terdapat beberapa hasil konkrit daripada mesyuarat ini yang sebenarnya bagus, termasuk cadangan berkaitan perdagangan yang bernilai US$30 bilion,” katanya.

Beliau berkata sejauh mana berhasilnya pertemuan itu akan bergantung kepada tindakan susulan kedua-dua negara kuasa besar itu selepas rundingan berkenaan.

Menurutnya, salah satu aspek yang kurang mendapat perhatian adalah cadangan AS mewujudkan “Lembaga Perdagangan” serta gesaan China bagi “Lembaga Pelaburan” yang menjadi sebahagian usaha untuk menguruskan hubungan ekonomi dua hala.

Walaupun langkah itu dapat menstabilkan hubungan dua negara kuasa besar ekonomi, namun ini boleh mengurangkan pengaruh negara lebih kecil jika sebarang keputusan besar diputuskan menerusi rundingan dua hala berbanding platform pelbagai hala seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia.

“Di satu sudut, perbincangan Lembaga Perdagangan dan Lembaga Pelaburan itu baik untuk menstabilkan hubungan dagangan. Namun, ini bermakna apabila hanya dua pihak bersuara, pihak lain perlu mendengar dan kita tidak banyak suara dalam perkara sedemikian,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557629