JENAYAH & MAHKAMAH

Hampir 2,000 Kes Kebakaran Terbuka Direkodkan Di Kelantan

16/05/2026 12:58 PM

KOTA BHARU, 16 Mei (Bernama) -- Sebanyak 1,949 kes kebakaran terbuka direkodkan di Kelantan melibatkan kawasan kebun, hutan, belukar dan sampah sepanjang tahun lepas hingga April tahun ini, dengan kebakaran belukar dan sampah mencatatkan jumlah tertinggi.  

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata berdasarkan statistik JBPM, daerah Kota Bharu merekodkan jumlah kes kebakaran sampah tertinggi, iaitu 463 kes, diikuti Bachok sebanyak 267 kes dan Tumpat 214 kes.  

Beliau berkata bagi kebakaran belukar pula, Bachok mencatatkan jumlah tertinggi dengan 79 kes, diikuti Pasir Mas sebanyak 43 kes dan Pasir Puteh 29 kes.  

Statistik berkenaan turut menunjukkan kebakaran kawasan kebun dan hutan berlaku di semua daerah, antaranya Tanah Merah, Kuala Krai, Machang dan Gua Musang, namun jumlahnya lebih rendah berbanding kebakaran belukar dan sampah.  

Sementara itu, trend bulanan bagi tahun lepas menunjukkan peningkatan ketara kes kebakaran terbuka bermula Mac hingga April, khususnya melibatkan kebakaran belukar dan sampah.  

"Bagi kebakaran belukar, sebanyak 580 kes direkodkan pada April tahun lepas berbanding 245 kes pada Mac dan 80 kes pada Februari.  

"Kebakaran sampah pula meningkat kepada 52 kes pada April tahun lepas berbanding 35 kes pada Mac dan 27 kes pada Februari," katanya.

Farhan Sufyan berkata hingga April tahun ini, kebakaran belukar mencatatkan 57 kes pada Mac sebelum menurun kepada 24 kes pada April, manakala kebakaran sampah merekodkan 17 kes pada Mac dan 13 kes pada April.  

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557784