AM

Universiti Sunway Sokong TMM2026 Menerusi Sambutan Hari Beruang Matahari Sedunia

17/05/2026 01:47 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Universiti Sunway mengukuhkan lagi sokongannya terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) melalui program meraikan sambutan Hari Beruang Matahari Sedunia 2026, yang mengetengahkan isu pemuliharaan biodiversiti, pendidikan alam sekitar dan pelancongan lestari.

Acara itu yang diadakan dengan kerjasama Tourism Malaysia di kampus universiti tersebut semalam disertai wakil daripada Tourism Malaysia, ahli akademik, pelajar dan masyarakat untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan melindungi beruang matahari Malaya, sambil meletakkan warisan semula jadi Malaysia sebagai asas naratif TMM2026.

Presiden dan Naib Canselor Universiti Sunway Prof Sibrandes Poppema berkata universiti itu berbangga menganjurkan acara tersebut bagi menyokong kesedaran biodiversiti dan selari dengan kempen TMM2026.

"Sebagai 'Kampus Berhati Nurani' dan universiti generasi kelima yang dipacu misi, kemampanan bukanlah slogan. Ia dipupuk dalam pengajaran, penyelidikan dan perkongsian kami.

"Kami percaya bahawa pendidikan bukan hanya sekadar di kelas semata-mata, yang dapat membentuk individu yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga bertanggungjawab menjaga alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Kanan Pengiklanan dan Digital Tourism Malaysia yang juga  Ketua Sekretariat TMM2026 Mohd Akbal Setia.

Malaysia, antara negara yang kaya dengan pelbagai biodiversiti di dunia, merupakan habitat kepada beruang matahari Malaya, spesies beruang terkecil di dunia dan merupakan simbol penting bagi warisan semula jadi negara.

Spesies ini juga telah dipilih sebagai ikon bagi kempen TMM2026 melalui maskot rasminya, Wira dan Manja, yang mencerminkan identiti Malaysia sebagai destinasi yang kaya dengan budaya, meriah, dan mesra alam sekitar.

Menurut universiti itu, kehadiran Wira dan Manja bersama maskot Universiti Sunway, Samson dan Sophia semasa program tersebut turut melambangkan visi yang dikongsi bersama antara universiti dan Tourism Malaysia dalam meningkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap biodiversiti Malaysia.

Acara itu juga serentak dengan sambutan Hari Guru, yang mengiktiraf sumbangan warga pendidik dalam membentuk generasi akan datang yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga bertanggungjawab terhadap sosial dan alam sekitar.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2558128