KUANTAN, 19 Mei (Bernama) -- Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang memperkukuh penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penyampaian maklumat menerusi penganjuran kursus AI Untuk Penghasilan Kandungan Digital, yang melibatkan 35 pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan negeri.
Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Pahang Khairul Anwar Ahmad Nadzer berkata kursus disertai pegawai daripada Unit Komunikasi Strategik Negeri Pahang, jabatan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, syarikat berkaitan kerajaan, Majlis Agama Islam serta pegawai yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri.
Beliau berkata kursus berkenaan penting bagi memastikan pegawai komunikasi kerajaan negeri bergerak seiring perkembangan teknologi semasa, khususnya dalam penggunaan AI.
“Ada peserta yang sememangnya pakar dalam bidang reka bentuk, grafik dan video, namun keupayaan menggunakan AI dapat membantu meningkatkan lagi kecekapan kerja mereka,” katanya kepada Bernama di sini.
Khairul Anwar berkata kursus itu dijalankan dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang mempunyai kepakaran dalam penghasilan kandungan media mengikut garis panduan komunikasi kerajaan.
“Kursus ini penting kerana ia bukan sahaja mengajar tentang penggunaan aplikasi tetapi juga pendedahan kepada cara menyampaikan mesej dan maklumat dengan lebih berkesan kepada kumpulan sasar,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Berita Bernama Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman berkata objektif utama kursus adalah untuk memberi pendedahan mengenai AI yang dapat membantu mempercepat dan memperkukuh penghasilan kandungan digital secara lebih kreatif dan efektif.
Beliau berkata peserta turut diberi latihan praktikal berkaitan penggunaan AI dalam penghasilan kandungan media sosial, penulisan, grafik, video pendek dan komunikasi digital kerajaan.
“Mereka bukan sahaja didedahkan kepada teori tetapi turut diberi latihan praktikal supaya mampu menghasilkan kandungan yang lebih menarik, cepat dan relevan dengan kehendak audiens masa kini,” katanya.
Syed Iylia Hariz berkata aplikasi AI yang diperkenalkan sepanjang kursus itu termasuk ChatGPT untuk penulisan dan idea kandungan, Canva bagi penghasilan grafik dan poster serta Gemini untuk carian maklumat dan penjanaan idea kreatif.
“Saya berharap kursus ini dapat membuka minda peserta bahawa AI bukan pengganti manusia tetapi alat yang membantu meningkatkan produktiviti dan mutu penyampaian maklumat.
“Paling penting, peserta bukan sahaja memahami tentang AI malah yakin menggunakannya dalam tugasan harian bagi memperkukuh komunikasi digital jabatan dan agensi masing-masing,” katanya.
-- BERNAMA