JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan 43 Individu Terbabit Sindiket Pusat Panggilan

21/05/2026 06:10 PM

SHAH ALAM, 21 Mei (Bernama) -- Polis menahan 43 individu termasuk seorang warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam empat sindiket pusat panggilan melibatkan beberapa serbuan sekitar Shah Alam dan Puchong.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata dalam serbuan di sebuah banglo dua tingkat di Setia Alam di sini pada 19 Mei, pihaknya menahan 13 warga asing dan seorang warga tempatan berusia 19 hingga 41 tahun, yang dipercayai terlibat dalam penipuan tawaran kerja sambilan terhadap warga Iraq.

“Polis turut merampas antaranya 20 unit telefon pintar dan 12 unit set komputer serta dua kenderaan dengan jumlah keseluruhan RM123,000,” katanya pada sidang media di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Sementara itu, Shazeli berkata polis turut menahan 29 warga asing termasuk dua wanita, berusia lingkungan 18 hingga 63 tahun dalam tiga serbuan antara 11 malam hingga 1.20 pagi di Bandar 16 Sierra, Puchong pada 19 Mei dan semalam.

Kesemua suspek terdiri daripada tiga sindiket berasingan, beroperasi di kediaman jenis rumah tiga tingkat yang terletak berhampiran antara satu sama lain dan menjadikan warga Peru dan China sebagai sasaran penipuan dalam talian.

“Hasil siasatan mendapati sindiket-sindiket ini menjalankan penipuan pelaburan serta pengumpulan maklumat kewangan yang diperoleh daripada aktiviti penipuan,” katanya.

Shazeli berkata turut dirampas komputer riba, router wifi serta telefon pintar dengan nilai keseluruhan RM69,000.

Kesemua suspek direman empat hari sehingga 23 Mei untuk disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan   

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2559969