AM

LRT Laluan Ampang/Sri Petaling Beroperasi Dengan Jadual Alternatif

29/05/2026 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di sepanjang Laluan Ampang/Sri Petaling terus beroperasi hari ini dengan jadual perkhidmatan yang diubah suai susulan insiden tren tergelincir berhampiran dengan Stesen Chan Sow Lin, semalam.

Tinjauan Bernama di beberapa stesen sepanjang laluan itu termasuk dari Stesen Cheras hingga Stesen Pudu mendapati operasi perkhidmatan berjalan seperti biasa dengan kaunter tiket dibuka kepada orang ramai.

Bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang, pengumuman panduan perjalanan dibuat secara berkala menerusi sistem pembesar suara stesen, selain petugas Rapid Rail ditempatkan di platform untuk membantu pengguna mendapatkan tren ke destinasi masing-masing.

Di Stesen Cheras, hanya satu platform digunakan secara berselang-seli bagi kedua-dua arah perkhidmatan, melibatkan tren menuju ke Putra Heights dan Sentul Timur.

Seorang pengguna, Arif Norazlan, 21, berkata perjalanannya dari Stesen Cheras ke Stesen Pudu berjalan dengan lancar hasil bantuan serta panduan yang diberikan oleh petugas Rapid Rail.

"Saya tidak menunggu lama untuk menaiki tren. Walaupun platform yang digunakan hari ini berbeza daripada kebiasaan, petugas banyak membantu penumpang supaya menaiki tren yang betul," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, seorang lagi penumpang, B. Thanabala Singham, 46, berkata dia yang dalam perjalanan dari Stesen Masjid Jamek ke Ampang dimaklumkan petugas supaya turun di Stesen Pudu untuk menggunakan perkhidmatan tren perantara (shuttle) ke destinasi berkenaan.

Bagaimanapun, dia memilih untuk meneruskan perjalanan dari Stesen Pudu menggunakan perkhidmatan e-hailing.

"Berikutan gangguan perkhidmatan LRT, saya membuat keputusan menggunakan e-hailing dari Stesen Pudu ke destinasi saya. Saya berharap perkhidmatan di laluan ini dapat kembali pulih seperti biasa secepat mungkin," katanya.

Dalam kejadian pagi semalam, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin akibat kerosakan pada suis landasan yang menjejaskan jadual perkhidmatan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook hari ini berkata landasan yang terjejas dijangka dapat beroperasi semula selewat-lewatnya pada Rabu depan.

Beliau turut memaklumkan semua stesen di Laluan Ampang/Sri Petaling kekal beroperasi, namun menggunakan jadual perkhidmatan yang diubah suai bagi memastikan pergerakan tren dapat diteruskan sepanjang tempoh kerja pemulihan dijalankan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2562779