VANCOUVER, 19 Jun (Bernama-QNA) -- Ketua jurulatih Qatar, Julen Lopetegui, menegaskan kekalahan 0-6 kepada Kanada dalam perlawanan kedua Kumpulan B pada Piala Dunia FIFA 2026 tidak menamatkan harapan pasukannya untuk mara ke pusingan 32 terakhir, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Bercakap pada sidang media selepas perlawanan, jurulatih dari Sepanyol itu menyifatkan kad merah pertama yang dilayangkan kepada bek kiri Homam Al Amin sebagai titik perubahan utama perlawanan, terutama kerana ia berlaku tidak lama selepas Kanada mendahului sejurus tamat 15 minit pertama permainan.
Lopetegui menjelaskan bahawa barisan kejurulatihan ketika itu sedang merancang beberapa pelarasan taktikal bagi meningkatkan keberkesanan serangan pasukan sebelum pengusiran pemain itu mengubah corak perlawanan.
Beliau berkata keadaan menjadi lebih sukar selepas Qatar menerima kad merah kedua pada separuh masa kedua.
"Perkara paling penting sekarang ialah membantu pemain pulih dari segi fizikal dan mental selepas perlawanan yang mencabar.
"Kami perlu memastikan mereka bersedia sepenuhnya dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Bosnia dan Herzegovina pada 24 Jun," kata Lopetegui.
Jurulatih Qatar itu berkata pasukannya akan kehilangan khidmat Homam Al Amin dan Assim Madibo dalam perlawanan seterusnya susulan kad merah yang diterima ketika menentang Kanada.
Beliau menyifatkan kedua-dua pemain itu sebagai anggota penting skuad, namun yakin pemain lain yang tersedia mampu mengisi kekosongan berkenaan.
Lopetegui menegaskan bahawa perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu tidak kurang sukarnya berbanding dua perlawanan terdahulu kerana Bosnia dan Herzegovina menawarkan cabaran berbeza yang memerlukan persiapan rapi.
Beliau turut menegaskan bahawa Qatar layak ke Piala Dunia FIFA berdasarkan merit menerusi kempen kelayakan dan masih mempunyai peluang untuk mara melepasi peringkat kumpulan.
Lopetegui menggesa para pemain supaya melupakan kekalahan itu dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pertemuan dengan Bosnia dan Herzegovina, yang disifatkannya sebagai peluang terakhir pasukan untuk mengekalkan harapan layak ke pusingan seterusnya.
-- BERNAMA-QNA