DUNIA

Persidangan Ahli Sinologi Sedunia Ketiga Berlangsung Di Dunhuang

04/06/2026 02:03 PM

DUNHUANG (China), 4 Jun (Bernama-CMG) -- Persidangan Ahli Sinologi Sedunia Ketiga yang bertemakan "Menghubungkan Kebijaksanaan Tamadun dari Dalam dan Luar China, Bersama Menghadapi Cabaran dalam Arus Zaman" dirasmikan di sini pada Selasa. 

"Kajian sinologi merupakan saluran penting untuk memahami tamadun China, selain menjadi jendela bagi mengenali modenisasi ala China," kata seorang pegawai dari Jabatan Perhubungan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China.

Beliau berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan ahli sinologi dunia serta rakan daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk memperkenalkan budaya China, memupuk persahabatan antara China dan negara luar, serta merancakkan pertukaran budaya.

Menurut pegawai itu, usaha berkenaan juga termasuk pelaksanaan Inisiatif Tamadun Global secara bersama bagi memperkukuh aspek peradaban dalam pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Sementara itu, para peserta berpendapat nilai kearifan seperti "satu dunia satu keluarga" dan "simbiosis dalam kehidupan harmoni" yang terkandung dalam tamadun China boleh dijadikan rujukan penting dalam menangani cabaran semasa di peringkat global.

Selain sesi persidangan, lawatan dan bengkel interaktif turut diadakan bagi membolehkan ahli sinologi yang berminat mengenali China dengan lebih dekat serta mendapatkan pendedahan di peringkat akar umbi.

Persidangan kali ini dianjurkan bersama oleh Persatuan Pertukaran Antarabangsa China (CAIFU) dan pihak berkuasa tempatan provinsi Gansu, dengan penyertaan lebih 300 wakil dari hampir 70 buah negara.

-- BERNAMA-CMG

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2564583