KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah kepada gandingan beregu lelaki negara Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Ramsani atas kejayaan merangkul gelaran juara pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia, semalam.
Beliau pada masa sama berharap pasangan beregu yang kini berada di ranking kelapan dunia itu akan terus melakar lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.
“Selepas dua minggu muncul naib juara Malaysia Masters, Sze Fei dan Izzuddin bangkit menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia. Tahniah atas pencapaian membanggakan ini.
“Kemenangan ini sekali gus menamatkan penantian 18 tahun Malaysia untuk kembali menjulang gelaran beregu lelaki Terbuka Indonesia yang bertaraf Super 1000,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Pada aksi final di Istoran Senayan, Jakarta semalam, Sze Fei dan Izzuddin bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum menewaskan wakil tuan rumah Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 13-21, 21-18, 21-10 dalam tempoh 49 minit.
Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia kembali menawan gelaran beregu lelaki kejohanan berprestij itu buat kali pertama sejak Zakry Abdul Latif-Fairuzizuan Tazari melakukannya pada edisi 2008.
-- BERNAMA