AM

Gempa Filipina: Siren Amaran Dibunyikan Umum Penamatan Ancaman Tsunami

08/06/2026 02:44 PM

TAWAU, 8 Jun (Bernama) -- Siren amaran tsunami yang diaktifkan di beberapa daerah termasuk Tawau susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 di Mindanao, Filipina pagi tadi, kini ditamatkan secara rasmi.

Tinjauan Bernama di lokasi mendapati siren di luar pekarangan Masjid Al-Kauthar di sini, dibunyikan semula pada 12.17 tengah hari bagi memaklumkan penamatan ancaman tsunami kepada penduduk setempat.

Siren Sistem Amaran Awal Tsunami itu dibunyikan lebih 20 kali, disusuli dengan pemberitahuan suara dalam bahasa Melayu dan Inggeris bahawa tiada lagi ancaman tsunami.

Terdahulu, siren amaran berkenaan telah diaktifkan pihak berkuasa pagi tadi dan bunyinya kedengaran jelas di beberapa kawasan pesisir pantai termasuk di petempatan padat Kampung Titingan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa nasihat tsunami yang dikeluarkan pada 8.36 pagi telah ditamatkan sepenuhnya pada 12 tengah hari.

Gempa bumi kuat itu dilaporkan berlaku di Mindanao pukul 7.37 pagi pada kedalaman 50 kilometer, dengan pusat gempa terletak pada latitud 5.7 darjah utara dan longitud 125.1 darjah timur.

Ekoran gempa kuat itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran awal berhubung risiko ombak tsunami setinggi 0.4 meter yang diramalkan melanda kawasan pantai di empat daerah pantai timur Sabah, iaitu Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2566012