AM

ATM, TNI Perkukuh Kerjasama Pertahanan Menerusi LATGABMA MALINDO DARSASA

18/06/2026 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) memperkukuh hubungan diplomasi pertahanan menerusi Latihan Gabungan Bersama Malaysia-Indonesia Darat Samudera Angkasa Siri 12AB/2026 (LATGABMA MALINDO DARSASA 12AB/2026).

Markas Angkatan Bersama (MK AB) Kem Al-Sultan Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan eksesais selama 13 hari itu berlangsung di Lampung, Sumatera, Indonesia dengan melibatkan 719 peserta daripada pelbagai agensi kedua-dua negara.

Panglima 1 Briged Infantri selaku Ketua Kelompok Perancang Latihan ATM Brig Jen Datuk Zamri Othman berkata latihan itu bukan sekadar rutin, sebaliknya manifestasi jelas ikatan persaudaraan dan kepercayaan strategik antara Malaysia dan Indonesia.

“Selain menguji konsep operasi gabungan melibatkan domain darat, maritim dan udara, ia menyediakan platform untuk meningkatkan kesefahaman terhadap prosedur operasi serta membina keyakinan antara anggota kedua-dua angkatan tentera," katanya dalam kenyataan sama.

Zamri berkata persekitaran keselamatan masa kini semakin kompleks dengan ancaman bukan tradisional seperti jenayah maritim, penyeludupan, keganasan, ancaman siber dan bencana alam, justeru kerjasama pertahanan kedua-dua negara perlu terus diperkasakan.

LATGABMA MALINDO DARSASA dilaksanakan sejak 1984 menerusi Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) dan Jawatankuasa Latihan Bersama Malaysia-Indonesia (JKLB MALINDO) setiap tiga tahun secara bergilir, dengan edisi terakhir dijalankan di Pekan, Pahang pada 2023 berteraskan konsep antikeganasan.

Pemilihan Bandar Lampung sebagai lokasi utama selaras dengan konsep latihan yang menekankan aspek Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR), Mencari dan Menyelamat (SAR) serta Eksesais Siber (CyberEx).

"Provinsi Lampung terletak di titik pertemuan tiga lingkaran plat tektonik aktif dunia, menjadikannya kawasan yang relevan untuk senario latihan berasaskan bencana alam," menurut kenyataan itu. 

Senario latihan dibangunkan berdasarkan pengalaman sebenar bencana gempa bumi dan tsunami yang pernah melanda Indonesia khususnya di Sumatera Selatan bagi memastikan pelaksanaan latihan lebih realistik.

Latihan dibahagikan kepada sesi akademik melalui Latihan Pos Perintah (STAFFEX) yang memfokuskan 10 senario utama iaitu tindak balas awal bencana; insiden mangsa beramai-ramai; runtuhan infrastruktur; kecemasan perubatan; bantuan antarabangsa; serangan siber; peperangan maklumat; pengungsian besar-besaran; fasa penstabilan dan fasa peralihan.

Pendekatan itu membantu peserta memahami senario dengan lebih mendalam serta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh secara berkesan ketika Fasa Latihan Medan (FTX).

FTX menekankan kepada Latihan Integrasi Pasukan (FIT) melibatkan anggota ATM, TNI dan Tim Instansi Indonesia seperti Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS), Taruna Siaga Bencana (TAGANA), Palang Merah Indonesia (PMI) serta Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD).

"Semasa FIT, siri latihan bersama dilaksanakan merangkumi ikatan dan simpulan tali, repelling, tindakan kecemasan serta mendirikan rumah sakit lapangan yang diselaraskan dalam segmen HADR dan SAR," menurut kenyataan itu.

Pengisian eksesais turut memberi tumpuan kepada Engineering Civil Action Programme (ENCAP), Medical Civic Action Programme (MEDCAP) dan CyberEx.

ENCAP melibatkan kerja pembaikan terhadap dua Rumah Tidak Layak Huni (RTLH) di Kampung Sukamaju serta pembinaan jalan konkrit di Kampung Keteguhan, manakala MEDCAP yang dijalankan di Pusat Kesihatan Masyarakat (PUSKESMAS) merangkumi pemeriksaan kesihatan umum, kaca mata percuma dan program derma darah.

Bagi segmen CyberEx, latihan meliputi aspek teknikal seperti peninjauan, penghitungan, serangan kelayakan, man-in-the-middle (MITM), penyamaran dan manipulasi suapan.

Secara keseluruhan, eksesais itu melibatkan 463 anggota TNI, 150 anggota ATM, dua wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), 25 anggota Polis Republik Indonesia (POLRI) serta 79 peserta daripada pelbagai agensi Indonesia.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2569915