JENAYAH & MAHKAMAH

Empat Lelaki Ditahan Disyaki Curi Kabel Milik TM Di Sungai Siput

13/06/2026 04:22 PM

IPOH, 13 Jun (Bernama) -- Polis menahan empat lelaki selepas disyaki mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) di kawasan Persiaran Komersial Waterfront, Jalan Lintang, dekat Sungai Siput, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintenden Charan a/l Ai Wan berkata kesemua suspek berumur antara 31 hingga 50 tahun itu ditahan oleh anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Sungai Siput kira-kira 5.30 pagi.

Beliau berkata pihaknya merampas 10 keratan kabel TM yang telah dipotong dan peralatan digunakan untuk memotong kabel serta sebuah kereta pacuan empat roda jenis Ford Ranger berwarna merah yang merupakan kenderaan curi.

"Kesemua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan penyalahgunaan dadah selain hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga suspek terbabit positif dadah jenis morfin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Charan berkata kes diklafikasikan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2568129