AM

Strategi NIES Perkukuh Budaya Integriti Masyarakat - PM

13/06/2026 09:18 PM

KOTA KINABALU, 13 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluncurkan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) bagi memperkukuh budaya integriti dalam segenap lapisan masyarakat secara menyeluruh, progresif dan sistematik.

Inisiatif strategik negara yang diperkenal menerusi Institut Integriti Malaysia (IIM) itu diluncurkan beliau sempena sambutan Minggu Perpaduan Negara Peringkat Kebangsaan 2026 di Kompleks Sukan Likas di sini.

Anwar dalam ucapannya berkata peluncuran NIES menandakan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam usaha mengakar budaya integriti.

"Ini adalah asas kepada pembangunan negara yang mampan, beretika dan berdaya tahan," katanya.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Sementara itu, Aaron berkata peluncuran NIES sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Kebangsaan amat signifikan kerana integriti dan perpaduan adalah asas penting dalam pembinaan negara bangsa yang kukuh. 

Beliau berkata NIES adalah inisiatif penting negara bagi memperkukuh integriti melalui penghayatan nilai-nilai murni seperti kejujuran, amanah, ketelusan dan akauntabiliti dalam kehidupan seharian.

"Perpaduan yang berkekalan memerlukan kepercayaan manakala kepercayaan hanya dapat dibina melalui amalan integriti yang berterusan dalam kalangan rakyat, institusi dan kepimpinan negara," katanya.

Sementara itu, IIM dalam kenyataan memaklumkan NIES digubal merentas pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, komuniti, institusi pendidikan, sektor awam dan swasta, institusi politik serta pertubuhan masyarakat sivil bagi membudayakan integriti secara menyeluruh.

Kenyataan IIM menyebut NIES turut memperkukuh usaha nasional terdahulu seperti Pelan Integriti Nasional, Pelan Antirasuah Nasional dan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional dengan memberi penekanan terhadap pembentukan budaya integriti sebagai tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.

Menurut IIM, strategi itu dibangunkan berdasarkan tiga teras utama, iaitu Pendidikan dan Pembinaan Insan Berintegriti, Tadbir Urus dan Institusi Beretika serta Komuniti dan Jangkauan Budaya Berintegriti.

“Ketiga-tiga teras tersebut memberi fokus kepada pembentukan nilai integriti sejak usia muda, pengukuhan sistem dan institusi yang telus serta pembudayaan integriti sebagai norma sosial dalam kehidupan bermasyarakat,” menurut kenyataan itu.

IIM akan menerajui pelaksanaan NIES dengan sokongan pelbagai kementerian, agensi, sektor swasta, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti setempat melalui pendekatan kolaboratif serta penglibatan seluruh masyarakat.

Peluncuran NIES dalam platform Minggu Perpaduan itu juga memperlihatkan bahawa perpaduan dan integriti adalah dua tonggak penting yang perlu diperkukuh secara serentak dalam usaha membina Malaysia MADANI.

IIM menyifatkan NIES bukan sekadar strategi nasional tetapi menjadi seruan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghayati dan mengamalkan nilai integriti dalam setiap aspek kehidupan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2568248