JENAYAH & MAHKAMAH

Pendakwaan Diberi Masa Tiga Bulan Serah Notis Rayuan Kepada Yusoff Rawther Yang Berada Di UK

15/06/2026 03:23 PM

PUTRAJAYA, 15 Jun (Bernama) -- Pihak pendakwaan diberi masa tiga bulan untuk menyerahkan notis rayuan secara fizikal kepada bekas pembantu penyelidik kepada seorang ahli politik Muhammed Yusoff Rawther, yang kini berada di United Kingdom (UK).

Pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan di akhir kes pendakwaan tanpa perlu dipanggil membela diri.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azman Abdullah berkata penyerahan notis rayuan berkenaan perlu dibuat secara serahan persendirian.  Hari ini ditetapkan untuk mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Muhammed Yusoff.

Hakim Azman yang bersidang bersama dengan Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan K. Muniandy berkata mahkamah telah meneliti surat daripada responden (Muhammed Yusoff), yang menyatakan pasport beliau berada dengan pihak kerajaan United Kingdom selepas beliau memohon suaka hak asasi manusia.

Hakim Azman berkata pada prosiding hari ini, pihak perayu (pendakwaan) dan peguam responden, telah bersetuju penyerahan notis rayuan secara fizikal adalah satu kewajipan di bawah undang-undang mengikut Seksyen 314 Kanun Tatacara Jenayah.

Bagaimanapun, hakim itu berkata pengetahuan responden mengenai rayuan pendakwaan dan prosiding pada hari ini adalah tidak mencukupi untuk pendengaran rayuan diteruskan secara dalam talian atau Zoom.

“Pihak perayu perlu mengambil tindakan wajar, usaha-usaha dan kaedah untuk memastikan notis rayuan diserahkan secara persendirian. Dengan ini, mahkamah menetapkan 8 Sept ini untuk sebutan kes, bagi menentukan sama ada pendengaran rayuan ini boleh diteruskan atau tidak,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah berkata responden tidak hadir pada prosiding hari ini dan pihak pendakwaan dimaklumkan melalui surat bahawa responden kini berada di luar negara.

“Pihak kami telah mengesahkan dengan Imigresen bahawa memang benar responden berada di luar negara sejak tahun lepas dan tiada rekod beliau masuk ke negara ini. Kami baru sahaja tahu responden telah pergi ke luar negara Jun tahun lepas pada bulan sama (16 Jun 2025) pihak pendakwaan memfailkan rayuan. 

“Kami cuba mengesan beliau dan berusaha untuk menyerahkan notis rayuan dua minggu lepas, selepas memperoleh tarikh prosiding hari ini daripada mahkamah, tetapi gagal. Kami juga memohon prosiding kes berlangsung secara dalam talian atau Zoom dengan kehadiran responden,” katanya.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff mengakui anak guamnya mempunyai pengetahuan mengenai rayuan pendakwaan, namun pihaknya mengesahkan notis rayuan itu tidak diserahkan secara fizikal kepadanya.

Muhammad Rafique berkata beliau hanya mengetahui bahawa responden tidak boleh kembali ke Malaysia pada 1 Jun dan memaklumkan perkara itu melalui sepucuk surat yang dihantar menerusi kepada mahkamah dan pendakwaan.

“Responden memohon untuk mendapatkan suaka hak asasi manusia dan perkara itu masih belum diputuskan. Bagi mendapatkan suaka, dia perlu serahkan pasportnya kepada kerajaan UK. Oleh itu adalah mustahil untuk beliau hadir ke mahkamah,” katanya.

Pada 12 Jun 2025, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membebaskan Muhammed Yusoff, 33, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya dan berdasarkan keterangan saksi-saksi, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan tertuduh mempunyai kawalan, jagaan dan pemilikan ke atas dua pucuk pistol dan dadah terbabit.

Muhammed Yusoff didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 Sept 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa atas pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini pada 9.25 pagi, 6 Sept tahun sama mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2568712