AM

KPDN Sita Jualan Barangan Berjenama Tiruan Di Johor Bahru Bernilai RM600,000

19/06/2026 11:26 AM

PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penjualan barangan berjenama disyaki tiruan membabitkan nilai sitaan berjumlah RM600,000 di tiga lokasi berasingan di Johor Bahru, Isnin lepas.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata pihaknya melalui Bahagian Penguat Kuasa Putrajaya menyerbu tiga premis yang menawarkan pelbagai jenis barangan berjenama memaparkan cap dagangan beberapa jenama terkenal tanpa kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar.

“Operasi ini hasil maklumat risikan selama sebulan ke atas peniaga yang didapati mengadakan jualan di pasar raya utama, selain disyaki menjadi pengedar kepada peniaga lain.

“Pasukan serbuan menyita pelbagai jenis barangan disyaki menggunakan cap dagangan dipakaikan dengan salah seperti pakaian, beg tangan, dompet, tali pinggang, minyak wangi dan dokumen perniagaan berkaitan dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM600,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata hasil pemeriksaan dan pengesahan awal bersama wakil pengadu mendapati ada alasan munasabah untuk mempercayai suatu kesalahan telah dilakukan.

Sehubungan itu, beliau berkata KPDN turut menahan empat individu warga tempatan terdiri daripada pemilik serta penjaga premis bagi membantu siasatan kerana dipercayai terlibat dalam pengurusan operasi perniagaan tersebut.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] dan individu disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan tiruan atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan seterusnya, denda maksimum RM20,000 bagi setiap barangan atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata bagi pesalah syarikat atau pertubuhan perbadanan, hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan pertama dan maksimum RM30,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan berikutnya.

Azman berkata KPDN akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti penjualan atau pengedaran barangan tiruan melanggar hak harta intelek serta mengelirukan pengguna.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570310