GEORGE TOWN, 19 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dijadual mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Pulau Pinang bermula hari ini bagi menghadiri pelbagai program bersempena dengan Majlis kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.
Beliau dijadual memulakan agenda rasmi dengan menghadiri Program Pemukiman Media Malaysia 2.0 di Seberang Jaya pada 3.50 petang, sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib pada 8.15 malam ini.
Majlis itu diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap peranan media dalam pembangunan negara, selain menjadi platform untuk menghimpunkan pengamal media, ketua pengarang, pengurusan tertinggi organisasi media tempatan dan antarabangsa.
Fahmi kemudiannya dijadualkan menyertai Karnival RIUH Pi HAWANA di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena pada 10.15 malam yang menghimpunkan pengamal industri kreatif, usahawan dan masyarakat setempat.
Karnival selama tiga hari bermula hari ini itu menggabungkan elemen seni kreatif dengan sesi dialog dan pelbagai aktiviti menarik seperti bengkel seni cyanotype printmaking, albumen printing serta ukiran batu, dan kemasukan adalah percuma.
Karnival itu turut menghimpunkan lebih 24 jenama produk kreatif tempatan, 20 vendor makanan dan minuman serta 16 persembahan pentas oleh artis tempatan antaranya Sakura Band, Kaka Azraff, Budak Nakal Hujung Simpang serta Chelsea Ng.
Esok, Fahmi akan meneruskan jadual padatnya dengan menghadiri Program Jiwa@Sembang Santai Edisi Khas Piala Dunia di Medan Makan Pasar Awam Seberang Jaya pada 8.30 pagi.
Beliau kemudian akan menghadiri Dialog Media Bersama Menteri Komunikasi Sempena HAWANA 2026 pada 9.30 pagi di Butterworth.
Tumpuan esok pastinya Majlis Kemuncak HAWANA 2026 bertemakan "Media Berintegriti, Teras Kredibiliti" yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena pada 3 petang.
Majlis yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara bagi membincangkan hala tuju kewartawanan masa kini.
HAWANA yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bertindak sebagai agensi pelaksana adalah platform kemuncak dalam menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di Malaysia.
Fahmi dijadual berlepas pulang ke ibu negara malam esok selepas selesai semua program yang dirancang.
-- BERNAMA