KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corp) dan Korea Environment Corporation (K-Eco) Korea Selatan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan biogas dan inisiatif berkaitan keneutralan karbon.
Bioeconomy Corp dalam kenyataan hari ini memaklumkan MoU itu telah dimeterai di sini semasa Bengkel Biogas Ke Arah Keneutralan Karbon yang dianjurkan K-Eco dengan kerjasama Kedutaan Korea Selatan di Malaysia.
“MoU itu mewujudkan kerangka bagi kerjasama dalam sektor biogas termasuk perkongsian ilmu, kerjasama teknikal, pertukaran dasar, pembinaan kapasiti, pembangunan projek, penyelidikan dan inovasi, serta promosi penyelesaian biotenaga yang lestari,” menurutnya.
Bengkel itu dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang dan dihadiri wakil agensi kerajaan, institusi penyelidikan, organisasi antarabangsa dan sektor swasta kedua-dua negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corp Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata kerjasama itu dilaksanakan dalam persekitaran minat global yang semakin meningkat dalam penyelesaian biotenaga dan ekonomi kitaran yang mampan.
“Di peringkat global, berbilion tan sisa organik dihasilkan pada setiap tahun. Bagaimanapun, kurang daripada lima peratus bahan mentah yang berpotensi secara mampan kini digunakan untuk pengeluaran biogas dan biometana.
“Ini memberikan peluang besar kepada negara seperti Malaysia dan Korea Selatan untuk bekerjasama menukar sisa kepada nilai melalui inovasi, pertukaran pengetahuan dan perkongsian kepakaran di samping mewujudkan laluan ekonomi dan alam sekitar baharu kepada kedua-dua negara,” katanya.
Ketua Pengarah K-Eco Seo Seung-Myeong berkongsi pengalaman perbadanan itu dalam melaksanakan dasar alam sekitar Korea Selatan termasuk program pengurangan gas rumah hijau, sokongan bagi Skim Perdagangan Pelepasan Korea (K-ETS), kerjasama di bawah Perkara 6 Perjanjian Paris dan pengeluaran biogas daripada sisa organik.
“Korea Selatan dan Malaysia berkongsi komitmen yang sama untuk membina masa depan mampan. Melalui MoU dan bengkel hari ini, kami berharap dapat memperluas kerjasama praktikal dalam pembangunan biogas, pengurangan gas rumah hijau dan peralihan kepada ekonomi rendah karbon.
“Langkah itu sekali gus menyumbang kepada keneutralan karbon dan kelestarian alam sekitar bagi jangka panjang di kedua-dua negara,” katanya.
Duta Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-bae berkata perubahan iklim memerlukan kerjasama antarabangsa dan tindakan kolektif.
“Korea Selatan menghargai kerjasamanya dengan Malaysia untuk mempromosikan pembangunan mampan dan keneutralan karbon.
“Saya gembira melihat agensi kerajaan, pemimpin industri dan pakar dari kedua-dua negara berkumpul untuk membincangkan penyelesaian praktikal dalam sektor biogas dan meneroka kerjasama selanjutnya ke arah matlamat iklim bersama,” katanya.
Bioeconomy Corp adalah agensi di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi yang bertanggungjawab membangunkan industri berasaskan bio dan bioteknologi Malaysia.
Agensi itu menyediakan sokongan dan perkhidmatan pemudah cara untuk pembangunan industri berasaskan bio dan bioteknologi Malaysia termasuk dalam bidang seperti pelaburan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengkomersialan, pembangunan bakat dan aspek kawal selia.
Bioeconomy Corp turut menyokong perniagaan, institusi akademik dan komuniti saintifik melalui perkhidmatan pemudah cara dan khidmat nasihat yang merangkumi pembangunan perniagaan, pelaburan, R&D, pengkomersialan, pembangunan modal insan, bantuan kewangan dan aspek kawal selia.
Antara program utamanya adalah Status BioNexus, iaitu pengiktirafan yang disokong kerajaan kepada syarikat bioteknologi yang layak, yang menyediakan kemudahan dan insentif untuk pertumbuhan perniagaan.
Selain itu, program Bio-based Accelerator membantu syarikat berasaskan bio yang sedang berkembang untuk meningkatkan skala operasi dan mengkomersialkan inovasi mereka.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.bioeconomycorporation.my
-- BERNAMA