EKONOMI

Malaysia, Korea Selatan Perkukuh Kerjasama TBB Melalui Projek Bio-CNG Terengganu

19/06/2026 04:26 PM

KUALA LUMPUR,19 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Korea Selatan memperkukuh lagi kerjasama strategik dalam tenaga boleh baharu (TBB) susulan pertukaran surat hasrat (LOI) bagi Projek Naik Taraf Biogas Kilang Sawit Negeri Terengganu, inisiatif yang akan menukarkan sisa daripada industri minyak sawit kepada  biogas asli mampat (Bio-CNG).

Projek itu, disokong dan diselaraskan oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), menghimpunkan syarikat TBB Korea Selatan, Polaris Bio Co Ltd dan Sudokwon Landfill Site Management Corporation (SLC) bersama-sama rakan teknologi Malaysia, MTC Orec Sdn Bhd.

Menurut kenyataan bersama Bioeconomy Corporation dan Polaris Bio, kerjasama itu bertujuan meneroka potensi komersial sisa industri sawit sebagai sumber tenaga bersih bernilai tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata projek Bio-CNG Terengganu menandakan satu langkah penting dalam industri Bio-CNG berasaskan sisa sawit di Malaysia.

Beliau berkata usaha itu sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan bioekonomi dan TBB di rantau ini.

“Berpandukan perancangan pelaburan RM700 juta yang diumumkan tahun lepas, inisiatif ini menunjukkan bahawa aspirasi Malaysia dalam pembangunan efluen sisa kilang kelapa sawit (POME) kepada Bio-CNG ini bergerak melepasi fasa kebolehlaksanaan kepada pelaksanaan sebenar.

“Perkembangan ini juga berlaku ketika pengeluaran biogas dan biometana global dijangka meningkat sebanyak 22 peratus antara 2025 hingga 2030. Kami berharap hubungan strategik ini akan terus berkembang dan menyumbang kepada pembangunan sektor bioekonomi serta TBB negara,” katanya.

Beliau berkata industri sawit Malaysia menghasilkan sejumlah besar biojisim dan produk sampingan yang boleh ditukarkan kepada sumber TBB bernilai tinggi.

Melalui inovasi seperti Bio-CNG, sisa industri sawit dapat ditukar kepada peluang ekonomi baharu, di samping memperkukuh keselamatan tenaga dan menyokong agenda pembangunan rendah karbon negara, katanya.

Menurut kenyataan itu, sepanjang proses pembangunan projek, Bioeconomy Corporation melaksanakan peranan strategik dalam menghubungkan pihak berkepentingan Malaysia dan Korea melalui sokongan terhadap rundingan pelaburan, penglibatan agensi kerajaan serta akses pasaran.

Peranan Bioeconomy Corporation turut meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa untuk menyertai pembangunan sektor bioekonomi dan TBB negara, tambah kenyataan itu.

Sementara itu, Presiden SLC Song Byeong-eok berkata pihaknya komited untuk menyokong projek projek iklim antarabangsa yang mampu memberikan manfaat kepada alam sekitar dan ekonomi.

“SLC telah membangunkan kepakaran luas dalam inisiatif pengurangan gas rumah hijau dan berjaya merekodkan lebih 8.82 juta tan pengurangan pelepasan gas rumah hijau sejak 2006.

“Kami berharap dapat menjayakan projek ini di samping memperkukuh hubungan Korea dan Malaysia dalam sektor TBB,” katanya.

Pada peringkat awal, projek itu akan melibatkan sebuah kilang sawit di Terengganu, dengan perancangan untuk diperluas pada masa hadapan.

Kerja-kerja awal pembangunan dijangka bermula pada 2027, manakala operasi komersial disasarkan bermula pada 2029.

Selain menjana TBB, projek tersebut dijangka menyokong pemindahan teknologi dua hala antara Malaysia dan Korea, mewujudkan peluang pekerjaan, memperkukuh kepakaran tempatan serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem bioekonomi yang lebih berdaya tahan, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570491