ZAPOPAN (Mexico), 19 Jun (Yonhap) -- Korea Selatan tewas kepada tuan rumah bersama Mexico 0-1 pada Khamis untuk kekalahan pertama mereka dalam Kumpulan A pada Piala Dunia FIFA 2026, sekali gus gagal merangkul tempat kalah mati lebih awal, menurut agensi berita Yonhap.
Luis Romo menjaringkan gol tunggal untuk El Tri pada minit ke-50 di hadapan penonton tuan rumah di Estadio Guadalajara di Zapopan, barat Mexico.
Korea Selatan, selepas menewaskan Republik Czech 2-1 ketika memulakan saingan minggu lepas, kekal pada tiga mata dan kini menduduki tempat kedua di belakang Mexico, yang meningkat kepada enam mata untuk memenangi Kumpulan A dengan baki satu perlawanan.
Czechia dan Afrika Selatan, yang bermain dengan keputusan seri 1-1 awal Khamis, masing-masing berada pada satu mata, dengan Czechia menduduki tempat ketiga hasil perbezaan jaringan.
Korea Selatan akan menutup peringkat kumpulan menentang Afrika Selatan pada Rabu depan di Monterrey, timur laut Mexico, manakala Mexico akan berdepan Czechia pada hari yang sama di Mexico City.
Dengan kejohanan itu telah diperluas kepada 48 negara, dua pasukan teratas daripada setiap 12 kumpulan akan mara ke pusingan 32, disertai lapan pasukan terbaik tempat ketiga.
Korea Selatan akan layak ke pusingan kalah mati dan menduduki tempat kedua dalam Kumpulan A dengan menang atau seri menentang Afrika Selatan.
-- BERNAMA-YONHAP