JENAYAH & MAHKAMAH

Tukang Masak Mengaku Tidak Bersalah Miliki Lebih 14,000 Kg Minyak Masak Tanpa Lesen

15/06/2026 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Seorang tukang masak sebuah restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan memiliki 14,534 kilogram (kg) minyak masak tanpa lesen, Khamis lepas.

Ng Jen Choon, 49, didakwa bersama-sama tiga lagi individu berurusan dengan barang berjadual berkenaan secara runcit atau borong tanpa lesen di sebuah premis di Taman Sri Serdang Fasa 4, Seri Kembangan dekat sini pada 1 tengah hari, 11 Jun lepas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Dr Syahliza Warnoh membenarkan lelaki itu diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi.

Mahkamah juga menetapkan sebutan kes pada 13 Julai ini untuk serahan dokumen serta pendakwaan terhadap tiga lagi lelaki atas kesalahan sama.

Kes berkenaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN Nur Abyan Anuar, manakala tertuduh diwakili peguam Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2568729