PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggagalkan penyelewengan kira-kira 59,000 kilogram minyak masak peket bersubsidi dianggar bernilai RM393,040 dalam tiga serbuan di Negeri Sembilan dan Selangor.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata serbuan hasil risikan dan pemantauan itu dijalankan di dua premis di Seremban, Negeri Sembilan manakala satu premis di Seri Kembangan, Selangor, yang dipercayai digunakan sebagai pusat penyimpanan serta pemprosesan minyak masak peket bersubsidi secara tidak sah.
"Hasil pemeriksaan mendapati premis terlibat digunakan untuk menyimpan sejumlah besar minyak masak peket bersubsidi serta cecair yang ditempatkan di dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC), tong simpanan dan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan bagi tujuan pemindahan, pemotongan dan penyimpanan minyak masak sebelum diedarkan semula," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata penyelewengan minyak masak terbabit melibatkan lapan jenama tempatan dengan sindiket dipercayai mendapatkan bekalan minyak masak peket bersubsidi daripada pembungkus atau pemborong sebelum dihantar ke premis haram untuk dipotong daripada bungkusan asal.
"Minyak masak itu kemudian dikumpul dan disimpan di dalam tangki IBC sebelum dipercayai dijual kepada pihak ketiga, termasuk pengusaha minyak masak terpakai (UCO) bagi mendapatkan keuntungan lebih tinggi," katanya.
Azman berkata siasatan awal mendapati pengendali premis gagal mengemukakan lesen atau dokumen yang sah berkaitan aktiviti penyimpanan dan urus niaga barang kawalan berjadual sebagaimana dikehendaki di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau berkata dalam operasi itu, pasukan serbuan telah menyita pelbagai barang termasuk minyak masak peket bersubsidi, cecair disyaki minyak masak, tangki IBC, pam, hos penyambung, foklif, lori, telefon bimbit, kotak pembungkusan serta peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyelewengan berkenaan.
Menurut Azman, pasukan serbuan turut menahan sembilan individu terdiri daripada tiga warga tempatan dan enam warga asing bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Siasatan lanjut turut dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan individu dan syarikat lain dalam rangkaian sindiket itu.
-- BERNAMA