Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Selepas lebih dua dekad membawa haluan masing-masing, dua sahabat sejak zaman kanak-kanak kembali bergandingan dalam persembahan tarian klasik India Bharatanatyam, demi memelihara sebuah bangunan warisan komuniti berusia 87 tahun.
Persembahan amal itu menampilkan P. Gowri dan Sathia yang menghidupkan semula kenangan lalu menerusi acara "Sashvatham - An Eternal Legacy: The Journey of Two Friends" di Shantanand Auditorium, Temple of Fine Arts (TFA), pada Rabu lepas.
Kedua-duanya yang kini berusia 49 tahun, pernah menjadi pasangan tarian sejak kecil di Ceylon Tamils' Kalavirthy Sangam (CTKS) dan mula mengenali antara satu sama lain pada 1984 ketika mengikuti kelas tarian di bawah bimbingan pasangan guru terkenal Sivadass-Vatsala.
pic-2
Persembahan itu diadakan bukan sahaja sebagai penghargaan kepada guru dan ibu mereka, malah bertujuan mengumpul dana bagi memelihara bangunan warisan milik CTKS di Jalan Imbi yang terletak berhadapan Tun Razak Exchange (TRX).
Gowri yang juga penjawat awam berkata idea untuk kembali menari bersama tercetus pada Oktober tahun lepas selepas ibu kedua-dua mereka yang juga bersahabat baik, menyuarakan hasrat untuk melihat mereka berkongsi pentas sekali lagi.
"Kami mula belajar menari bersama ketika berusia tujuh tahun sebelum berpisah pada awal usia 20-an kerana komitmen kerjaya. Persahabatan kami tidak pernah terputus walaupun Sathia berhenti menari bagi memberi tumpuan kepada kerjayanya. Kami masih berhubung dan saling menyokong.
"Apabila Sathia mengajak saya mengadakan persembahan bersama-sama, saya mencadangkan agar ia dijadikan acara kutipan dana bagi membantu CTKS kerana di situlah tempat kami mula mengenali dunia tarian," katanya ketika ditemui Bernama, di sini baru-baru ini.
pic-3
Persembahan selama kira-kira dua jam itu menampilkan lima item tarian Bharatanatyam di bawah bimbingan koreografer dan guru mereka, Dr Guruvayur Usha Dorai, yang juga pengasas serta pengetua Laasya Arts Academy, dengan iringan muzik tradisional India secara langsung.
Gowri berkata persembahan berkenaan turut membawa mesej bahawa persahabatan mampu bertahan walaupun berdepan pelbagai cabaran hidup, selain menggalakkan orang ramai agar terus mengejar impian mereka.
"Persahabatan kami membuktikan dengan sokongan antara satu sama lain apa sahaja boleh dicapai, malah ia menjadi mesej bahawa minat yang lama ditinggalkan akibat komitmen kerja masih boleh direalisasikan jika ada semangat dan sokongan,” katanya sambil dipersetujui Sathia.
pic-4
Gowri yang juga anak jati Kuala Lumpur mengakui faktor usia serta kesukaran mengimbangi komitmen kerja dan latihan menjadi cabaran utama sepanjang persiapan persembahan sejak November tahun lepas, namun keserasian sejak kecil memudahkan mereka menyesuaikan diri semula.
Sementara itu, Presiden CTKS Datuk K. Thanarajah berkata dana yang dikumpul menerusi persembahan berkenaan akan digunakan bagi menaik taraf bangunan persatuan yang ditubuhkan pada 1939 itu.
“Kami menyasarkan kutipan RM40,000 menerusi jualan tiket berharga RM50, RM80 dan RM100 bagi persembahan itu,” katanya menambah CTKS kini mempunyai kira-kira 140 ahli.
Beliau berkata bangunan berusia 87 tahun itu masih digunakan sebagai pusat aktiviti seni dan budaya, termasuk kelas tarian, muzik dan bahasa Tamil.
pic-5
"Kami memerlukan lebih RM500,000 untuk menaik taraf serta membaik pulih ruang, tandas dan memasang pendingin hawa, namun setakat ini hanya 30 peratus dana berjaya dikumpul dengan pelbagai aktiviti akan terus dianjurkan bagi menampung baki kos tersebut," katanya.
Thanarajah berharap lebih ramai generasi muda terlibat dalam usaha memelihara warisan budaya komuniti berkenaan.
“Sokongan daripada orang ramai, sektor swasta dan kerajaan amat diperlukan bagi memastikan bangunan berkenaan terus menjadi pusat kegiatan seni dan budaya untuk generasi akan datang,” katanya.
-- BERNAMA