Selepas disahkan mengalami Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) pada 2019 yang selalunya menyebabkan seseorang sukar mengawal emosi, mengurus masa serta ketidakupayaan memulakan atau menyelesaikan tugasan, Michael (bukan nama sebenar) kehilangan pekerjaannya.
“Pengurus saya hilang sabar dengan saya,” katanya.
Selepas itu, dia terperangkap dalam kitaran menyalahkan diri sendiri dan marah terhadap ketidakupayaannya yang menyebabkan dia kehilangan pekerjaan yang amat disukainya. Dia juga mengalami kemurungan apabila membandingkan dirinya dengan adik-beradik serta rakan-rakan seusia yang sudah berkeluarga. Pada masa sama, dia turut dihimpit perasaan sunyi.
Kemudian, pada 2022, OpenAI (syarikat penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan) melancarkan ChatGPT yang dengan pantas menjadi popular. Tidak lama kemudian, pelbagai chatbot AI lain muncul. Michael juga mula terjebak, menggunakan chatbot AI dalam hampir setiap aspek kehidupannya.
Dia mendapati AI banyak membantunya mengurus masa dan kehidupan harian, termasuk menyusun jadual kerja serta aktiviti peribadi, selain menjadi teman berbual ketika dia kesunyian. Tambahnya, AI juga membantu dia memahami ADHD dan ciri-ciri yang berkaitan dengan gangguan itu, seperti rejection sensitivity dysphoria (RSD) iaitu kesukaran mengawal tindak balas emosi terhadap penolakan, kegagalan atau kritikan, sama ada yang ditanggapi atau benar-benar berlaku.
Kesukaran hidup dengan ADHD juga menyebabkan ramai individu mengalami gangguan emosi, termasuk keresahan dan kemurungan.
“Saya guna AI dalam pelbagai cara. Malah untuk isu keluarga, kesunyian dan pelbagai masalah peribadi serta profesional, saya akan tanya AI,” kata Michael kepada Bernama menerusi Google Meet.
Malah, katanya, dia turut berkongsi tangkap layar mesej yang diterima dengan AI agar alat itu membantu mentafsir dan mengenal pasti elemen penolakan dalam mesej tersebut.
Michael bukan satu-satunya individu yang menggunakan AI untuk mengurus aspek kesihatan mental. Kajian mendapati ramai pengguna memanfaatkan AI bukan sahaja bagi meningkatkan produktiviti, tetapi juga untuk tujuan kesihatan mental. Dianggarkan terdapat kira-kira satu bilion pengguna AI di seluruh dunia.
Laporan bertajuk Use of Generative AI for Mental Health Advice Among US Adolescents and Young Adults yang diterbitkan JAMA Network - rangkaian jurnal perubatan semakan rakan sebaya terbitan American Medical Association - pada November 2025, mendapati kira-kira 13 peratus daripada 1,058 responden di Amerika Syarikat mengaku menggunakan AI generatif untuk mendapatkan nasihat berkaitan kesihatan mental. Daripada jumlah itu, 22.2 peratus berumur 18 hingga 21 tahun.
Di United Kingdom, tinjauan baharu yang dijalankan oleh Censuswide bagi pihak badan kebajikan Mental Health UK, mendapati satu daripada tiga orang dewasa menggunakan chatbot AI untuk mendapatkan bantuan berkaitan kesihatan mental. Penggunaan tertinggi direkodkan dalam kalangan mereka yang berumur 25 hingga 34 tahun dengan kadar sebanyak 64 peratus, manakala 15 peratus responden berumur 55 tahun ke atas turut melaporkan menggunakan chatbot AI untuk mendapatkan bantuan.
Pada masa sama, laporan mengenai krisis kesihatan mental semakin meningkat, termasuk kes bunuh diri melibatkan belia dan orang dewasa yang dikaitkan dengan AI. Selain pengaruh media sosial, pakar kesihatan mental dan pakar AI turut menyuarakan kebimbangan penggunaan chatbot AI sebagai teman maya berpotensi memburukkan lagi masalah itu.
EPIDEMIK KESUNYIAN
Sejak penggunaan ChatGPT dan chatbot lain seperti Gemini serta Claude menjadi kebiasaan di tempat kerja dan pada telefon pintar, kajian menunjukkan kewujudan masalah kesihatan mental yang berkait dengan penggunaan AI secara berlebihan.
Menurut laporan Enhancing Mental Health with Artificial Intelligence: Current Trends and Future Prospects yang diterbitkan menerusi Jurnal of Medicine, Surgery and Public Health dalam edisi Ogos 2024, masalah kesihatan mental utama seperti kemurungan dan keresahan menyebabkan kerugian ekonomi global sekitar US$1 trilion setiap tahun akibat kehilangan produktiviti.
Malaysia juga tidak terkecuali daripada fenomena epidemik kesunyian. Dalam Tinjauan Kesihatan Pelajar Berasaskan Sekolah Global Malaysia 2012 di bawah Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2012 Kementerian Kesihatan yang melibatkan soal selidik kendiri terhadap 33,523 pelajar, penyelidik mendapati prevalens kesunyian dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Malaysia ialah 16.2 peratus, dengan pelajar perempuan mencatat kadar tertinggi, iaitu 20.8 peratus. (Pelajar yang menjawab “kebanyakan masa” atau “sentiasa” berasa sunyi dalam tempoh 12 bulan sebelumnya dikategorikan sebagai kesunyian.)
Walaupun AI mungkin kelihatan seperti penyelesaian bagi epidemik kesunyian, yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai isu kesihatan global sejak 2023, para pakar mengingatkan AI tidak mampu menggantikan manusia sebenar dan interaksi sesama manusia.
Pada 11 Jun, seorang ibu dari Kanada, Kristie Carrier, memfailkan saman terhadap OpenAI dengan mendakwa ChatGPT mengabsahkan pemikiran anak perempuannya Alice tentang bunuh diri, yang akhirnya membawa kepada tindakan tersebut.
Walaupun terdapat laporan tentang kesan negatif AI terhadap kesihatan mental, teknologi itu terus berkembang. Malah, beberapa institusi psikiatri dan pusat kesihatan mental sedang menguji penggunaan chatbot AI untuk menyediakan terapi.
Felow Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia Tan Heang Lee berkata AI mampu menjadi jurulatih yang baik untuk membantu seseorang menghadapi situasi sosial.
“Terdapat satu kajian di UK yang mendapati sesetengah remaja mampu mengaplikasikan kemahiran yang mereka peroleh ketika berlatih dengan chatbot AI, dalam situasi dunia sebenar. Dalam konteks itu, AI menjadi gelanggang latihan,” katanya.
Penggiat AI dan teknologi seperti Ketua Pegawai Eksekutif Meta Mark Zuckerberg, berpendapat AI dapat membantu menangani masalah kesunyian. Namun, pakar kesihatan dan AI berpendapat chatbot mampu memburukkan lagi kesunyian apabila semakin ramai individu bergantung pada alat itu untuk memenuhi keperluan hubungan emosi.
Masalah timbul apabila teman AI mula menggantikan persahabatan manusia atau peranan ahli terapi sebenar.
KEBERGANTUNGAN YANG DI REKA BENTUK
Bagi memahami kebimbangan ini, seseorang perlu terlebih dahulu mengetahui cara chatbot AI berfungsi. Menurut Tan, banyak kes kebergantungan pada AI bermula apabila pengguna menggunakan alat itu untuk tugasan kerja atau meningkatkan produktiviti. Namun, apabila interaksi itu berlanjutan sehingga berkongsi maklumat dan masalah peribadi, ramai yang mula membina hubungan emosi dengan chatbot tersebut.
“Selalunya orang menggunakan teman AI untuk memenuhi keperluan emosi tertentu dan teman AI ini bertindak sebagai kawan, jurulatih, tempat meluahkan perasaan, ahli terapi, malah kadangkala sebagai pasangan,” katanya.
“Satu daripada kebimbangan ialah penggunaan teman AI dapat membawa kepada pembentukan ikatan emosi, kebergantungan dan juga penggunaan secara kompulsif.”
Menurut beliau, chatbot AI sememangnya direka untuk memanjangkan tempoh interaksi, misalnya dengan mengemukakan soalan susulan. Tan berkata syarikat AI mempunyai insentif untuk mewujudkan keterikatan emosi dan kebergantungan bagi meningkatkan tahap penglibatan pengguna.
“Saya rasa anda pun tahu soalan susulan itu ialah versi chatbot AI bagi konsep infinite scroll (penatalan berterusan),” katanya, menambah interaksi dengan chatbot lazimnya berjalan lancar, sangat menyokong dan kurang memenatkan berbanding berurusan dengan manusia.
Beliau berkata walaupun AI memudahkan interaksi, alat itu tidak sepatutnya menggantikan hubungan sesama manusia kerana keadaan tersebut mampu membantutkan perkembangan diri dan pembelajaran kemahiran sosial.
Pakar psikologi klinikal Izzat Zaid pula berkata AI perlu dilihat sebagai pembantu peribadi atau pelatih industri, iaitu satu alat yang digunakan untuk membantu, bukannya menggantikan rakan, ahli keluarga atau pasangan. Walaupun AI dapat membantu individu yang mengalami keresahan sosial berlatih menghadapi situasi sosial yang mencabar, alat itu tidak akan mampu menggantikan interaksi manusia sebenar.
Tegasnya AI sama sekali tidak sepatutnya menggantikan terapi manusia, kerana ahli terapi terikat dengan etika profesional, tidak seperti chatbot AI.
“Apabila kami sebagai ahli terapi menjalankan tugas, matlamat kami ialah memperkasakan klien dengan kemahiran yang diperlukan supaya suatu hari nanti mereka tidak lagi bergantung pada kami,” jelas Izzat.
Tan bersetuju dengan pandangan itu.
“Saya rasa itulah antara perbezaan utama antara teman AI dan ahli terapi. Harus difahami, ahli terapi profesional terikat dengan etika yang menggalakkan kebebasan dan keupayaan klien untuk berdikari. Matlamat terapi sebenarnya ialah supaya klien akhirnya tidak lagi memerlukan ahli terapi. Namun, keadaan itu tidak semestinya berlaku dalam kes teman AI," katanya.
MENGENAKAN HAD
Pepatah Inggeris “too much of a good thing” (terlalu banyak sesuatu yang baik juga boleh memudaratkan) ada benarnya. Seperti maksud pepatah itu, tidak kira sebesar mana manfaat AI terhadap kehidupan dan kesihatan mental seseorang, penggunaan teknologi tersebut tetap perlu dibatasi.
Prof Madya Dr Aini Suzana Ariffin yang mengetuai inisiatif tadbir urus dan peraturan AI di Malaysia serta merupakan Felow Pakar di Pusat Kecerdasan Buatan dan Robotik, Universiti Teknologi Malaysia, berkata kejuruteraan arahan (prompt engineering) merupakan antara langkah untuk mengelakkan kebergantungan pada chatbot AI.
“AI bergantung pada cara arahan diberikan. Selagi arahan itu jelas mengenai apa yang kita mahu AI lakukan, alat itu akan membantu,” katanya.
Langkah-langkah lain yang boleh diambil termasuk menetapkan had interaksi, tidak membenarkan soalan susulan atau mengelakkan penglibatan yang terlalu peribadi dengan AI. Selain itu, seseorang juga perlu mempunyai orang sebenar yang boleh membantu menyemak dan mengesahkan maklumat yang diberikan oleh chatbot AI.
“Seorang rakan saya menggunakan AI untuk mengesahkan perasaannya dan memahami apa yang sedang dilaluinya, sama ada perkara itu masuk akal atau tidak. Namun dia menggunakan saya sebagai semakan realiti.
“Dia memanggil saya ‘Jat GPT’,” kata Aini Suzana sambil ketawa.
Kata kunci di sini ialah hubungan sesama manusia.
Tan berkata lebih banyak infrastruktur hijau seperti taman dan taman permainan perlu diwujudkan bagi menggalakkan orang ramai menjalankan aktiviti rekreasi di luar rumah.
“Kita memerlukan lebih banyak taman dan taman permainan untuk kanak-kanak serta ruang yang membolehkan orang ramai berkumpul, bertemu dan berhubung sesama sendiri. Hakikat bahawa orang ramai kini beralih ke chatbot untuk mendapatkan teman sebenarnya mencerminkan kekurangan hubungan sosial dalam masyarakat dan kehidupan seharian kita,” katanya.
Bagi Michael pula, dia tidak terlalu bimbang berhubung kemungkinan menjadi terlalu bergantung pada chatbot AI kerana, buat masa ini manfaat yang diperoleh masih mengatasi risikonya. Dia juga mempunyai langkah perlindungan sendiri bagi mengelakkan kebergantungan, termasuk keluar bersiar-siar dan meluangkan masa dengan rakan-rakannya.
Dan jika semua langkah itu gagal, dia mempunyai penyelesaian paling mudah.
“Saya ketepikan telefon,” katanya.