KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd kekal positif terhadap prospek eksport Malaysia bagi 2026, disokong oleh permintaan luar yang berdaya tahan dan momentum berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang dipacu oleh kitaran naik teknologi dan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu menyatakan prestasi eksport yang lebih kukuh daripada jangkaan dalam beberapa bulan kebelakangan ini membolehkan ruang untuk lonjakan yang lebih tinggi daripada unjuran pertumbuhan eksport dalaman semasanya sebanyak 15.3 peratus bagi 2026.
“Optimisme ini diperkukuh oleh prestasi perdagangan Malaysia yang terus berdaya tahan, dengan eksport berkembang 24.3 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini di sebalik ketidaktentuan geopolitik yang berterusan,” katanya.
RHB Investment menyatakan pada masa hadapan prospek luaran akan terus dipengaruhi oleh perkembangan dasar tarif Amerika Syarikat (AS) dan keadaan geopolitik yang mungkin menjejaskan permintaan global dan aliran perdagangan.
“Bagaimanapun, Malaysia kekal berada pada kedudukan yang baik untuk menghadapi cabaran luaran, disokong oleh struktur ekonominya yang pelbagai, integrasi yang mendalam terhadap rantaian bekalan serantau dan global, serta usaha berterusan mempelbagaikan pasaran eksport serta meluaskan penawaran produknya.
“Secara kolektifnya, faktor-faktor ini sepatutnya membantu mengekalkan pertumbuhan eksport dan memperkukuh daya tahan ekonomi dalam menghadapi cabaran luaran,” tambahnya.
RHB Investment turut menyatakan eksport Malaysia pada Mei meningkat dengan pesat sebanyak 45.3 peratus tahun ke tahun (y-o-y), jauh mengatasi anggaran konsensus pasaran sebanyak 29.7 peratus y-o-y dan unjuran dalaman oleh pihaknya sebanyak 16.1 peratus y-o-y.
Hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan jumlah perdagangan Malaysia pada Mei 2026 meningkat 29.8 peratus y-o-y kepada RM327.6 bilion daripada RM252.5 bilion setahun lalu, didorong oleh pertumbuhan yang lebih kukuh dalam kedua-dua eksport dan import.
Ia memaklumkan eksport Malaysia berkembang 45.3 peratus, bernilai RM184.0 bilion dan import meningkat 14.1 peratus, berjumlah RM143.6 bilion, manakala lebihan dagangan melonjak 5,214.0 peratus kepada RM40.4 bilion.
-- BERNAMA