KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Integriti dan kredibiliti perlu terus menjadi tunjang utama pengamal media dalam mendepani cabaran lambakan maklumat tidak sahih serta perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI), kata Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Beliau berkata tema Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, "Media Berintegriti, Teras Kredibiliti", dipilih bagi menekankan kepentingan kedua-dua elemen itu dalam memastikan organisasi media kekal diyakini masyarakat.
Nur-ul Afida berkata pemilihan tema berkenaan mengambil kira landskap media semasa yang menyaksikan penyebaran pelbagai maklumat palsu menerusi platform media sosial tanpa melalui proses semakan dan pengesahan yang sewajarnya.
"Integriti merupakan sebahagian daripada kod etika kewartawanan. Apabila seseorang wartawan melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan jujur, hasil kerjanya akan mempunyai kredibiliti.
"Apabila hasil kerja itu berkredibiliti dan berwibawa, ia akan mendapat kepercayaan masyarakat serta mengangkat reputasi organisasi media itu sendiri," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Jendela Fikir Edisi HAWANA 2026: Media Berintegriti, Teras Kredibiliti terbitan Bernama Radio, hari ini.
Nur-ul Afida berkata media berintegriti hanya dapat diperkukuh jika masyarakat turut menghargai nilai berkenaan kerana kecenderungan berkongsi berita palsu dan gosip berbanding fakta akan terus mewujudkan dilema antara prinsip kewartawanan dengan kelangsungan industri.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa orang ramai menggunakan media secara bertanggungjawab dan menjadikan perkongsian daripada agensi di bawah Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai panduan, selain memahami implikasi setiap pelanggaran peraturan.
Beliau berkata penggunaan sumber sahih perlu diutamakan agar media dapat berperanan sebagai penghubung antara rakyat dengan kerajaan, menyokong pembangunan negara serta memelihara keharmonian masyarakat.
Nur-ul Afida berkata penubuhan Majlis Media Malaysia yang melibatkan syarikat media, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan memperkukuh peranan tersebut, selain menghalusi kerjasama dalam kalangan pemain industri.
Berhubung penggunaan AI, beliau berkata teknologi itu harus dilihat sebagai alat yang membantu mempercepat proses kerja dan meningkatkan kecekapan penghasilan kandungan, bukannya ancaman kepada kerjaya wartawan.
Nur-ul Afida yang mempunyai pengalaman hampir 42 tahun dalam bidang kewartawanan berkata industri media telah melalui pelbagai fasa perubahan teknologi, daripada penggunaan mesin taip kepada komputer dan peranti digital.
"AI hanyalah alat. Yang menentukan sama ada sesuatu hasil kerja itu baik atau tidak ialah manusia itu sendiri, dan ia membantu mempercepat proses kerja serta memperkemas hasil kewartawanan. Oleh itu, pengamal media tidak perlu melihatnya sebagai ancaman, sebaliknya memanfaatkannya secara positif bagi menghasilkan kandungan yang lebih berkesan," katanya.
Beliau berkata Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta yang diumumkan Kementerian Komunikasi tahun lepas turut membantu organisasi media memperoleh teknologi baharu dan meningkatkan kemahiran petugas dalam mengaplikasikan AI secara beretika serta berkesan.
“Dana ini telah dimanfaatkan oleh lebih 50 syarikat media, termasuk Bernama. Ia benar-benar membantu organisasi dan Bernama juga sedang mempergiat usaha memperkukuh penggunaan AI dalam operasi bilik berita menerusi pembelian pengisian baharu.
“Kita akan pamerkan teknologi ini semasa HAWANA di Pulau Pinang nanti bagi orang ramai melihat hasil kerja menggunakan AI, bukan sekadar dikaitkan dengan isu seperti pemalsuan, deepfake, tetapi sebagai alat yang membantu proses kewartawanan,” katanya.
Mengulas perkembangan Tabung Kasih@HAWANA, Nur-ul Afida berkata Bernama selaku agensi pelaksana terus giat menjejaki pengamal dan veteran media yang berdepan dengan kesukaran hidup serta masalah kesihatan dengan kerjasama kelab dan persatuan alumni media.
Setakat ini, sebanyak 774 penerima telah mendapat manfaat menerusi tabung berkenaan dengan jumlah sumbangan kira-kira RM2.3 juta.
Majlis Kemuncak HAWANA 2026 akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, Pulau Pinang pada 20 Jun ini, dan dijadualkan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA