AM

Kanak-kanak Penghidap Crouzon Syndrome Perlu RM50,000 Untuk Pembedahan

17/06/2026 03:27 PM

KUALA NERUS, 17 Jun (Bernama) -- Seorang kanak-kanak penghidap Crouzon Syndrome Muhammad Azan Qalis Azahar, 11, memerlukan sekurang-kurangnya RM50,00O bagi menjalani pembedahan membesarkan rahang muka disebabkan saluran pernafasan yang semakin sempit.

Ibu kepada kanak-kanak berkenaan, Jamilah Ali, 53, dari Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit, dekat sini berkata anak bongsunya disahkan menghidap penyakit genetik itu sejak lahir.

Jamilah yang juga ibu tunggal berkata Muhammad Azan Qalis pernah menjalani pembedahan membuka tempurung kepala ketika berusia dua tahun bagi mengelak perkembangan otak terjejas akibat penyakit dihidapinya.

"Muhammad Azan disahkan berpenyakit selepas ubun-ubun kepalanya didapati tertutup lebih awal iaitu ketika berusia enam bulan. Keadaan itu menyebabkan perkembangan tengkorak dan wajahnya tidak berlaku secara normal seperti kanak-kanak lain.

"Selepas lebih lapan tahun, doktor menasihatkan supaya dia menjalani pembedahan kedua secepat mungkin kerana  saluran pernafasannya semakin sempit dan boleh membahayakan nyawa," katanya ketika dihubungi hari ini.  

Jamilah berkata dia terpaksa meminta bantuan orang ramai kerana hasil jualan kedai makan hanya  cukup untuk menanggung makan-minum serta persekolahan anak-anaknya.

Malah dia juga terpaksa melakukan kerja sambilan sebagai pemandu e-hailing pada waktu malam untuk mendapatkan pendapatan sampingan memandangkan kos sara hidup semakin tinggi.

"Selain Azan, saya juga masih mempunyai seorang lagi anak lelaki Muhammad Airil Danial, 13, yang belajar di sekolah tahfiz di Wakaf Tengah. 

"Saya buntu apabila memikirkan nasib Azan. Saya harap ada pihak sudi menderma agar pembedahannya dapat dilakukan secepat mungkin," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Jamilah di talian 013-9897483 untuk sebarang maklumat lanjut.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2569574