DUNIA

China Siar Kertas Putih Papar Komitmen Majukan Tadbir Urus Global

17/06/2026 03:10 PM

BEIJING, 17 Jun (Bernama-CMG) -- Pejabat Penerangan Dewan Negara China menyiarkan kertas putih bertajuk “Tadbir Urus Global yang Lebih Adil dan Munasabah: Prinsip, Cadangan dan Tindakan China” pada Rabu.

Kertas putih itu mengupas secara mendalam konotasi saintifik Inisiatif Tadbir Urus Global (GGI) serta kepentingannya kepada dunia, selain memaparkan komitmen negara Tembok Besar itu dalam usaha memajukan tadbir urus global.

Menurut dokumen berkenaan, China sentiasa komited untuk menggalakkan keselamatan sejagat, memperkasa keterbukaan, kerjasama dan pembangunan bersama, serta mengamalkan multilateralisme yang sebenar.

Selain terus menyokong Selatan Global dalam memainkan peranan lebih besar, China turut mengambil berat terhadap interaksi dan proses saling belajar antara tamadun, sekali gus menyediakan lebih banyak produk awam kepada masyarakat antarabangsa.

Dokumen itu menyatakan bahawa GGI mencerminkan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta visi tadbir urus global yang bercirikan perundingan bersama, pembangunan bersama dan perkongsian bersama.

Inisiatif itu dibina berdasarkan lima konsep utama iaitu kesamarataan hak kedaulatan, kedaulatan undang-undang antarabangsa, multilateralisme, pendekatan berpusatkan rakyat dan tindakan praktikal.

Kertas putih berkenaan turut menekankan keperluan tadbir urus yang lebih efektif susulan kemunculan pelbagai cabaran global yang semakin kompleks, selain keperluan untuk memberi lebih banyak ruang kepada suara Selatan Global.

-- BERNAMA-CMG

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2569562