JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Dua Lelaki Disyaki Terlibat Kes Curi Kabel

15/06/2026 11:44 PM

SEREMBAN, 15 Jun (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri kabel selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di sekitar Jalan Tun Dr Ismail di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Yatim Osman berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 10.45 pagi sebelum menahan kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an yang menaiki  kereta jenis Proton Waja manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu membawa kepada penemuan 14 alat yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel dan beberapa senjata serta dua paket plastik lut sinar disyaki dadah.

“Hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kegiatan mencuri kabel bersama rakan mereka yang masih bebas di sekitar daerah ini,” menurutnya dalam kenyataan di sini malam ini.

Mohd Yatim berkata semakan turut mendapati kedua-duanya lelaki masing-masing memiliki tujuh dan 10 rekod jenayah manakala kereta terbabit didaftarkan atas nama seorang wanita serta digunakan suspek ketiga yang melarikan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186, Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 manakala kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok untuk permohonan reman.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Amram Ismail di talian 019-966 1346 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-603 3222.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2568940