EKONOMI

Dagangan Malaysia Cecah RM3.1 Trilion Pada 2025, Pulau Pinang Ungguli Eksport -- DOSM

16/06/2026 03:44 PM

GEORGE TOWN, 16 Jun (Bernama) -- Jumlah perdagangan Malaysia berkembang kepada RM3.1 trilion pada 2025, merangkumi RM1.6 trilion dalam eksport dan RM1.5 trilion import, dengan Pulau Pinang terus menerajui prestasi eksport negara, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pulau Pinang menyumbang 38.1 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, diikuti Johor (19.8 peratus), Selangor (17.0 peratus), Sarawak (6.4 peratus) dan Kuala Lumpur (3.7 peratus), kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam Laporan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia Mengikut Negeri 2026 yang dikeluarkan hari ini.

"Pertumbuhan eksport yang kukuh ini telah dipacu oleh litar bersepadu elektronik serta produk elektrik dan elektronik (E&E) lain, khususnya di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

"Produk petroleum ditapis menyumbang kepada eksport di Johor, manakala minyak sawit adalah antara penyumbang utama eksport di Sabah dan Sarawak," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata laporan itu juga menunjukkan Indeks Keterbukaan Perdagangan (TOI) Malaysia meningkat kepada 151.0 pada 2025 daripada 149.0 pada tahun sebelumnya, mencerminkan integrasi yang lebih kukuh antara perdagangan dan ekonomi.

Pulau Pinang mencatatkan TOI tertinggi pada 575.1 setakat 2024, meningkat berbanding 540.6 pada 2023, diikuti Johor (332.1) dan Kedah (234.2),  ketiga-tiga negeri berjaya melepasi paras kebangsaan.

TOI mengukur tahap kebergantungan perdagangan antarabangsa dalam barangan terhadap ekonomi, pada masa yang sama, indeks tersebut boleh digunakan untuk menganalisis corak perdagangan dan kepentingan perdagangan kepada ekonomi, katanya.

TOI mengikut negeri untuk 2025 masih disusun, ia masih menunggu penyiapan anggaran keluaran dalam negara kasar peringkat negeri dan akan diterbitkan dalam keluaran seterusnya.

Mohd Uzir berkata negeri lain yang mencatatkan eksport lebih tinggi ialah Johor (+RM12.6 bilion), Selangor (+RM7.6 bilion), Melaka (+RM4.2 bilion), Perak (+RM117.4 juta), Sabah (+RM134.7 juta) dan Perlis (+RM0.5 juta).

Bagaimanapun, beliau berkata Sarawak menyaksikan penurunan eksport (-RM15.1 bilion), Kedah (-RM10.3 bilion), Terengganu (-RM8.4 bilion), Kuala Lumpur (-RM4.8 bilion), Pahang (-RM4.8 bilion), Negeri Sembilan (-RM1.4 bilion), Labuan (-RM1.0 bilion) dan Kelantan (-RM96.0 juta).

Mengenai import, Mohd Uzir memberitahu Malaysia mencatatkan peningkatan 6.0 peratus kepada RM1.5 trilion pada 2025, dan Pulau Pinang sekali lagi mendahului peningkatan import, meningkat sebanyak RM60.4 bilion, diikuti Kuala Lumpur (+RM24.8 bilion), Selangor (+RM23.5 bilion), Johor (+RM6.5 bilion), Perak (+RM2.9 bilion), Sabah (+RM582.8 juta) dan Kelantan (+RM112.7 juta).

“Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan bahagian 26.3 peratus, diikuti Pulau Pinang dengan 24.4 peratus, Johor (22.3 peratus), Kuala Lumpur (8.9 peratus) dan Kedah (4.9 peratus),” katanya.

Import telah disokong oleh pembuatan litar bersepadu elektronik khususnya di Pulau Pinang dan Kedah selain produk E&E lain serta produk petroleum ditapis yang menyumbang kepada import di Selangor dan Johor, dengan kristal piezoelektrik dan alat ganti antara produk import utama di Pulau Pinang, katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2569126