EKONOMI

Jumlah Perdagangan Malaysia Meningkat 29.8 Peratus Kepada RM327.6 Bilion Pada Mei 2026 - DOSM

19/06/2026 01:31 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Jumlah perdagangan Malaysia pada Mei 2026 meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion berbanding RM252.5 bilion pada tempoh sama tahun lepas, didorong pertumbuhan kukuh eksport dan import, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM memaklumkan eksport meningkat 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion manakala import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion, sementara lebihan dagangan melonjak 5,214 peratus kepada RM40.4 bilion dalam tempoh berkenaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan eksport disokong peningkatan eksport semula dan eksport domestik.

“Eksport semula, yang merangkumi 22.2 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 58.4 peratus tahun ke tahun kepada RM40.9 bilion.

“Eksport domestik yang menyumbang 77.8 peratus daripada jumlah eksport turut berkembang 42.0 peratus kepada RM143.1 bilion,” katanya dalam kenyataan sempena penerbitan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia bagi Mei 2026, hari ini.

Import pula meningkat 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion manakala lebihan dagangan naik 5,214 peratus kepada RM40.4 bilion, sekali gus mencatat lebihan dagangan bagi bulan ke-73 berturut-turut sejak Mei 2020.

Berbanding April 2026, eksport dan lebihan dagangan masing-masing meningkat 0.4 peratus serta 38.2 peratus, manakala import dan jumlah dagangan susut 6.8 peratus dan 2.9 peratus.

Mohd Uzir berkata prestasi jumlah dagangan, eksport dan import bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 turut menunjukkan peningkatan.

Jumlah dagangan meningkat dua digit sebanyak 18.3 peratus kepada RM1.5 trilion berbanding RM1.2 trilion dalam tempoh sama tahun lepas, selaras dengan pertumbuhan eksport sebanyak 24.3 peratus dan import 11.8 peratus.

Pada masa sama, lebihan dagangan berkembang 182.9 peratus kepada RM132.8 bilion.

“Dalam lima bulan pertama 2026, Malaysia merekodkan nilai dagangan terkumpul tertinggi sebanyak RM1.5 trilion, mengatasi nilai keseluruhan dagangan RM1.4 trilion yang dicatatkan sepanjang 2014, iaitu 12 tahun lalu,” katanya.

Dari perspektif kumpulan barangan pula, 111 daripada 260 kumpulan eksport dan  132 daripada 258 kumpulan import mencatatkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. 

Menurut Mohd Uzir, peningkatan eksport disokong terutamanya oleh  peningkatan eksport disokong terutamanya oleh kenaikan penghantaran ke Amerika Syarikat sebanyak RM18.3 bilion, diikuti Singapura (RM7.4 bilion), Hong Kong (RM6.8 bilion), Taiwan (RM6.2 bilion), Kesatuan Eropah (EU) (RM4.7 bilion), China (RM4.2 bilion) dan Mexico (RM1.9 bilion).

Peningkatan import pula dipacu aliran masuk lebih tinggi dari China sebanyak RM11.3 bilion, diikuti Singapura (RM5.6 bilion), Taiwan (RM3.7 bilion), Thailand (RM1.4 bilion), EU (RM1.4 bilion), Vietnam (RM1.1 bilion) dan Jepun (RM943.4 juta).

Pertumbuhan eksport disokong peningkatan penghantaran produk elektrik dan elektronik (E&E) sebanyak RM37.9 bilion, barangan pembuatan lain (RM10.3 bilion), produk petroleum (RM6.0 bilion), gas asli cecair (LNG) (RM2.7 bilion), peralatan optik dan saintifik (RM2.3 bilion) serta mesin, peralatan dan alat ganti (RM990.5 juta).

Seiring itu, pertumbuhan import dipacu peningkatan kemasukan produk E&E sebanyak RM11.6 bilion, produk petroleum (RM3.0 bilion), barangan pembuatan lain (RM2.2 bilion), mesin, peralatan dan alat ganti (RM1.3 bilion), bahan kimia dan produk kimia (RM985.8 juta) serta peralatan optik dan saintifik (RM750.1 juta).

Mohd Uzir berkata peningkatan import mengikut penggunaan akhir selari dengan permintaan lebih tinggi terhadap barangan perantaraan.

Import barangan perantaraan yang merangkumi 51.9 peratus daripada jumlah import meningkat 14.4 peratus atau RM9.4 bilion kepada RM74.5 bilion.

Bagaimanapun, import barangan modal yang mewakili 12.9 peratus daripada jumlah import susut 18.3 peratus atau RM4.2 bilion kepada RM18.5 bilion, manakala import barangan penggunaan yang merangkumi 6.8 peratus daripada jumlah import menurun 2.7 peratus atau RM274.2 juta kepada RM9.8 bilion berbanding Mei 2025.

Ketegangan geopolitik di Asia Barat turut menjejaskan import beberapa barangan pengguna terutama pakaian dan aksesori pakaian, beg tangan dan bagasi serta perabot berasaskan kayu dan rotan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570382