AM

Hijrah Kepada Budaya Menyumbang Bakti, Tinggalkan Sikap Menyalahkan - Tun Musa

17/06/2026 01:26 PM

KOTA KINABALU, 17 Jun (Bernama) -- Umat Islam di negeri ini diseru melakukan transformasi minda yang besar dengan berhijrah daripada budaya gemar menyalahkan kepada budaya menyumbang bakti demi kemajuan ummah.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman berkata perubahan landskap berfikir itu amat penting dalam mendepani cabaran dunia masa kini yang semakin kompleks, di samping mengikis sikap mementingkan diri sendiri untuk disuburkan dengan semangat kebersamaan dalam komuniti.

Beliau berkata seluruh masyarakat juga dituntut melakukan peralihan budaya yang drastik iaitu beralih daripada kelemahan ilmu kepada kecemerlangan pengetahuan yang mampan.

"Inilah roh hijrah sebenar yang perlu diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat. Islam hari ini dituntut untuk berhijrah daripada kelemahan kepada kekuatan, daripada perpecahan kepada persaudaraan dan daripada kelalaian kepada ketakwaan terhadap Allah SWT," katanya.

Tun Musa berkata demikian dalam perutusannya ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M di sini hari ini.

Beliau mengingatkan bahawa hijrah bukan sekadar catatan sejarah perpindahan fizikal atau tempat semata-mata, tetapi ia merupakan suatu perjalanan jiwa yang memerlukan keberanian untuk meninggalkan amalan buruk, yang menghalang kemajuan.

Mengenai peranan golongan muda, Tun Musa mahu generasi baharu Islam di Sabah sentiasa memperkukuh sahsiah diri, meningkatkan kemahiran, serta bijak memanfaatkan kemudahan teknologi digital bagi tujuan berfaedah seperti pembelajaran dan keusahawanan.

“Generasi baharu ini perlu menjauhi segala bentuk gejala sosial yang boleh merosakkan masa hadapan serta menjejaskan potensi diri mereka sendiri,” katanya.

Melalui penerapan nilai keimanan dan pembentukan modal insan yang berintegriti serta bertanggungjawab itu, beliau optimis Sabah mampu terus melakar kemajuan yang diberkati.

Beliau turut mendoakan agar tahun baharu 1448 Hijrah ini disambut dengan keazaman teguh agar setiap langkah yang diambil membawa manfaat kepada keluarga dan masyarakat sekali gus menjadikan Sabah sebuah negeri yang damai, harmoni, dan sejahtera.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2569499