Daripada Siti Radziah Hamzah
TASHKENT, 17 Jun (Bernama) -- Uzbekistan sedang berusaha untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ketika negara itu melaksanakan langkah-langkah sistematik untuk menambah baik iklim pelaburannya, termasuk menubuhkan Pusat Kewangan Antarabangsa Tashkent (TIFC) dan meluaskan inisiatif penswastaan.
Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev berkata negara itu akan melancarkan program bon Islam berdaulat (sukuk), bertujuan menarik modal tambahan sekurang-kurangnya sebanyak US$10 bilion untuk perusahaan tempatan pada masa hadapan.
Program sukuk itu merupakan sebahagian daripada usaha Uzbekistan untuk membangunkan pasaran modal dan instrumen kewangan alternatif.
“Bagi mengukuhkan rangka kerja perundangan bagi pembaharuan sedemikian, undang-undang mengenai pasaran modal dan instrumen kewangan alternatif akan diguna pakai.
“Kami juga akan mewujudkan peluang yang luas kepada operasi syarikat penjelasan antarabangsa di Uzbekistan,” katanya.
Mirziyoyev berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Forum Pelaburan Antarabangsa Tashkent 2026 (TIIF 2026) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Albania Bajram Begaj, Perdana Menteri Belarus Alexander Turchin dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Tambah Mirziyoyev, sebagai sebahagian daripada program penswastaan tahun ini, aset bernilai US$6 bilion akan dilelong, termasuk hartanah, saham kerajaan dalam perusahaan dan plot tanah.
Katanya, Uzbekistan telah menarik pelaburan asing berjumlah US$123 bilion sejak lima tahun lepas, sekali gus mencerminkan keyakinan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap pembaharuan ekonomi negara itu.
Beliau turut menekankan bahawa usaha untuk menubuhkan TIFC telah bermula, dan menambah bahawa ia akan beroperasi di bawah rejim perundangan khas berasaskan prinsip undang-undang ‘common law’ Inggeris.
Antaranya, pusat itu akan menawarkan insentif yang meluas kepada pelabur antarabangsa, termasuk insentif cukai, pergerakan modal tanpa had dan mekanisme perlindungan undang-undang antarabangsa bagi mengukuhkan keyakinan pelabur.
Beliau menambah bahawa Uzbekistan telah menempatkan bon bernilai lebih US$16 bilion di pasaran antarabangsa dan berjaya menyenaraikan 30 peratus daripada Dana Pelaburan Negara di bursa saham Tashkent dan London.
Kerajaan juga sedang menyediakan beberapa syarikat utama bagi tawaran awam permulaan dan merancang untuk melelong aset bernilai US$6 bilion tahun ini, termasuk saham milik negara, plot tanah dan hartanah.
Mirziyoyev berkata ekonomi Uzbekistan dijangka melepasi US$180 bilion tahun ini, jauh melebihi sasaran keluaran dalam negara kasar sebanyak US$100 bilion yang pada asalnya ditetapkan bagi 2026.
Sementara itu, TIIF 2026 yang berlangsung dari 16 hingga 18 jun 2026 dengan tema ‘Daya Tahan Pelaburan, Sempadan Baharu, Perkongsian Baharu’, ia telah menarik hampir 4,000 peserta dari lebih 100 negara.
-- BERNAMA