KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Pemilihan Malaysia sebagai lokasi pembukaan bagi siri pameran umrah dan pelancongan Haj and Umrah International Travel Market (HUITM) mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap sektor pelancongan Islam negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata Malaysia sememangnya dikenali sebagai destinasi mesra Muslim yang berjaya menggabungkan nilai Islam, profesionalisme, keselamatan dan inovasi dalam pembangunan industri berkenaan.
"Industri umrah dan haji perlu terus diperkasa berasaskan prinsip amanah, integriti dan perlindungan pengguna bagi memastikan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI," katanya pada sidang media sempena perasmian Pameran HUITM Malaysia 2026, di sini ,hari ini.
Marhamah berkata penganjuran pameran itu juga amat bertepatan dengan agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) kerana mampu memperkenalkan negara sebagai destinasi pelancongan Islam yang selamat serta berkualiti.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Seri Dr Mohd Khalid Harun berkata HUITM Malaysia 2026 merupakan medan strategik bagi memperkukuh jaringan perniagaan serta meningkatkan tahap profesionalisme industri.
Katanya, penyertaan delegasi dan pempamer dari Arab Saudi serta Uzbekistan menunjukkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi utama bagi pembangunan industri pelancongan Islam.
Sementara itu, Presiden Association of Umrah Private Travel Companies of Uzbekistan (UZSAA) Sherzod Sami berkata Uzbekistan telah memilih 2026 sebagai tahun penting untuk memperkukuh kerjasama pelancongan ziarah dengan Malaysia.
Beliau berkata Uzbekistan sedang mengukuhkan statusnya sebagai hab pelancongan Islam utama dengan pembukaan Pusat Tamadun Islam di Tashkent yang baru-baru ini tercatat dalam Guinness World Records serta Kompleks Imam al-Bukhari di Samarkand yang mempamerkan warisan dan sejarah Islam negara itu.
Pameran HUITM Malaysia 2026 menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai agensi pelancongan, pengendali umrah, hotel dan syarikat penerbangan dari dalam serta luar negara.
Sebanyak 30 reruai disediakan yang menampilkan pelbagai produk hospitaliti, teknologi pelancongan serta program “Umrah Plus” yang semakin mendapat perhatian pasaran antarabangsa.
-- BERNAMA