AM

Mesyuarat MT MSDN Pacu Pengukuhan Ekosistem Statistik, Data Negara Melalui Integrasi Berkesan

18/06/2026 07:26 PM

PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Mesyuarat Tertinggi Majlis Statistik dan Data Negara (MT MSDN) hari ini mempertimbangkan enam kertas strategik signifikan, meliputi penyeragaman piawaian statistik rasmi negara, pengukuhan tadbir urus data, integrasi data pentadbiran serta pembangunan pangkalan data bakat sains, teknologi dan inovasi.

Ia juga meliputi pemerkasaan data nasional bagi pembangunan belia dan pengurusan data aset jalan negara.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan mesyuarat itu mencerminkan iltizam berterusan kerajaan untuk menjadikan MT MSDN sebagai pemangkin kepada pengukuhan dan pengintegrasian ekosistem statistik serta data negara dalam mendepani cabaran ekonomi semasa yang semakin kompleks dan dinamik.

“Penekanan ini meliputi pemantapan pemakaian piawaian, manual dan garis panduan dalam penghasilan statistik rasmi, peluasan integrasi data pentadbiran antara agensi dan pembangunan pangkalan data strategik negara bagi menyokong penggubalan dasar dan pelaksanaan program yang lebih tepat, telus, berkesan dan berakauntabiliti,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat MT MSDN Bilangan 1/2026 dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Pengerusi Majlis Statistik dan Data Negara. 

DOSM memaklumkan MT MSDN ialah badan penasihat tertinggi negara yang berperanan menyediakan panduan strategik dan hala tuju dalam memperkukuh tadbir urus Sistem Statistik Negara serta pembangunan ekosistem data negara.

Selain itu, DOSM memaklumkan Malaysia kini berada di ambang peralihan ke arah negara berpendapatan tinggi yang menuntut keupayaan pengurusan data yang lebih strategik, tepat dan bersepadu.

Sehubungan dengan itu, MT MSDN menjadi landasan penting ke arah pengukuhan kerangka institusi, peraturan dan pelaksanaan agar sistem statistik negara terus mantap, diyakini dan selaras dengan piawaian antarabangsa serta realiti ekonomi semasa.

“Penetapan sasaran, pemantauan kemajuan dan penilaian tahap pencapaian negara berpendapatan tinggi perlu disokong oleh statistik serta data yang sahih supaya setiap keputusan dasar dapat dibuat secara lebih responsif, berimpak tinggi dan mampan.

“Selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem statistik dan data negara, keperluan penambahbaikan kerangka institusi dan peraturan akan terus diteliti bagi meningkatkan koordinasi, integrasi serta perkongsian data antara agensi kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Melangkah ke hadapan, MSDN akan terus diperkasakan sebagai platform strategik negara dalam menyokong dasar yang memperluas dan mempergiat penggunaan data pentadbiran secara lebih meluas, tersusun dan bersepadu merentas kementerian, agensi, negeri dan daerah.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570095