MELAKA, 18 Jun (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok, minuman keras dan sisa barangan elektrik serta elektronik terpakai (e-waste) menerusi empat kes berasingan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM13.42 juta termasuk duti dan cukai.
Pengarah Kastam Melaka Roslan Yusoff berkata rampasan itu melibatkan rokok dan minuman keras pelbagai jenama serta 92,310 kilogram e-waste yang dikesan menerusi beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan antara April dan Mei lepas.
"Kejayaan terbesar direkodkan menerusi rampasan tujuh kontena mengandungi 8.82 juta batang rokok dan 65,614.8 liter minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM10.35 juta termasuk duti dan cukai pada 18 dan 21 Mei lepas.
"Hasil pemeriksaan mendapati bahawa kesemua kontena tersebut dibawa dari negara luar ke Pelabuhan Klang pada penghujung April tahun ini dan dijadual dibawa ke beberapa negara luar serta pelabuhan dalam negara termasuk Kuching, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya pada sidang media di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Roslan berkata pemeriksaan juga mendapati kesemua kontena tersebut berstatus transhipment (pindah kapal) dan gagal mengisytiharkan manifes kepada pihak kastam dalam tempoh ditetapkan.
"Empat individu berusia antara 20-an hingga 40-an yang mewakili syarikat ejen perkapalan telah ditahan bagi membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata dalam serbuan lain JKDM Melaka menahan lima kontena di Pelabuhan Klang yang mengandungi 92,310 kilogram e-waste bernilai RM1.25 juta.
“Semakan dokumen mendapati dagangan itu diikrar sebagai produk besi dan keluli, namun pemeriksaan fizikal menemukan sisa barangan elektrik dan elektronik terpakai.
"Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an yang mewakili syarikat ejen perkapalan turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya.
Dalam pada itu Roslan berkata menerusi hasil serbuan di tiga premis di Seberang Perai, Pulau Pinang dan Baling, Kedah pada 23 dan 24 April lepas JKDM Melaka turut merampas 50,378 batang rokok dan 36,686 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai RM1.53 juta termasuk duti dan cukai.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati rokok yang disita tidak mempunyai setem cukai kastam manakala minuman keras berkenaan dilabel sebagai barangan import.
Manakala dalam serbuan lain, Roslan berkata JKDM Melaka turut merampas 249,600 batang rokok pelbagai jenama yang disembunyikan dalam sebuah kereta Toyota Vellfire di Plaza Tol Ayer Hitam, Johor pada 8 Mei lepas.
Beliau berkata rampasan itu dianggarkan bernilai RM290,359.20 termasuk duti dan cukai, manakala pemandu lelaki berusia lingkungan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
Roslan berkata kes-kes berkenaan disiasat mengikut pelbagai peruntukan di bawah Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda serta hukuman penjara.
"Kita juga menggesa orang ramai membantu JKDM membanteras aktiviti penyeludupan kerana jenayah itu bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah mengancam keselamatan serta kesejahteraan rakyat," katanya.
-- BERNAMA