KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 35 individu termasuk tujuh warga tempatan dipercayai tekong darat dan transporter dalam serbuan Ops Taring Nyah 1 di Sabak Bernam, dekat sini pada Rabu lepas.
Komander Briged Tengah PGA SAC Hakemal Hawari berkata serbuan kira-kira 5 pagi di Kampung Sungai Air Tawar, Sabak Bernam itu ialah hasil maklumat dan risikan pasukan Task Force Briged Tengah PGA menerusi Ops Taring Nyah 1 Selangor dan Johor.
“Hasilnya, pihak Briged Tengah berjaya menahan sebanyak 35 orang terdiri daripada tujuh lelaki tempatan berperanan sebagai tekong darat dan transporter serta 28 warga Indonesia melibatkan 24 lelaki dan empat wanita yang merupakan pendatang tanpa izin.
“Kesemua individu yang ditahan dianggarkan berumur antara 20 hingga 50 tahun," katanya pada sidang media Ops Taring Delta (ATIPSOM) Briged Tengah PGA di sini, hari ini.
Hakemal berkata pihaknya turut merampas tujuh kenderaan pelbagai jenis melibatkan enam kereta, sebuah motosikal serta tujuh telefon bimbit dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan migran dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM360,000.
“Siasatan mendapati kadar bayaran yang dikenakan sindiket ini untuk memasuki negara antara RM1,500 hingga RM2,500 seorang dan kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Sementara itu, Hakemal berkata dari 1 Jan lepas hingga hari ini, Task Force Delta Briged Tengah PGA melaksanakan 11 serbuan melibatkan 22 kes dengan tangkapan 247 individu.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 32 orang merupakan tekong darat dan laut termasuk transporter, manakala selebihnya ialah pendatang asing terdiri daripada 160 lelaki, 54 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki.
“Selain itu, pelbagai aset dan barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan migran atau pendatang tanpa izin turut dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.5 juta,” katanya.
Hakemal berkata bagi tempoh sama, sebanyak 187 serbuan dijalankan di kawasan tanggungjawab Briged Tengah PGA meliputi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor.
“Hasilnya, sebanyak 662 individu berjaya ditangkap dengan pelbagai jenis rampasan melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM257 juta,” katanya.
-- BERNAMA