EKONOMI

KHPT Peroleh Kontrak Komponen Bagi Model Proton Baharu

18/06/2026 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- KHPT Holdings Bhd memperoleh kontrak daripada Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) untuk membekalkan komponen automotif bagi model baharu Proton.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, KHPT memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, Automev Global Sdn Bhd, telah menerima surat setuju terima (LOA) daripada Proton pada 6 Mei, 2026 berkaitan kontrak pembekalan tersebut.

Menurut KHPT, Automev Global dijangka menjana perolehan kira-kira RM155 juta sepanjang tempoh LOA dan akan kekal berkuat kuasa sepanjang kitaran hayat model kenderaan tersebut, melainkan dilanjutkan atau ditamatkan lebih awal mengikut terma dan syarat yang ditetapkan dalam LOA.

KHPT menjelaskan Automev Global akan membuat dan membekalkan komponen struktur automotif terpilih bagi menyokong keperluan pengeluaran kenderaan Proton.

Pengeluaran akan dijalankan di kemudahan pembuatan sedia ada kumpulan di Telok Panglima Garang, Selangor, tambahnya.

“LOA ini mencerminkan penglibatan berterusan kumpulan dalam rantaian bekalan automotif domestik serta mengukuhkan hubungan perniagaan jangka panjangnya dengan Proton,” menurut KHPT.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
    
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570122