KUALA LUMPUR, 18 Jun (Reuters) -- Meta Platforms melobi Kongres Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan kekebalan undang-undang daripada tuntutan mahkamah berkaitan kemudaratan terhadap kanak-kanak yang dikaitkan dengan produk media sosial seperti Instagram. Langkah itu dibuat ketika syarikat itu berdepan ribuan saman daripada pengguna muda dan keluarga mereka, menurut satu sumber yang mengetahui perkara itu serta draf perundangan yang diteliti oleh Reuters.
Sekiranya diterima oleh ahli Kongres serta diluluskan sebagai sebahagian daripada Akta Keselamatan Dalam Talian Kanak-Kanak (KOSA) yang sedang dipertimbangkan di Senat AS, peruntukan itu berpotensi menjejaskan ribuan saman terhadap Meta dan platform dalam talian lain yang berkaitan dengan kemudaratan terhadap kanak-kanak.
Meta dan YouTube milik Google berdepan ganti rugi berjumlah US$6 juta selepas tewas dalam kes pertama yang dibicarakan awal tahun ini.
Walaupun ahli Kongres belum menunjukkan sebarang petanda untuk menerima cadangan itu, usaha melobi itu menunjukkan bentuk perlindungan undang-undang yang sedang dicari oleh Meta ketika Amerika Syarikat berusaha melaksanakan pengawalseliaan terbesar terhadap platform dalam talian sejak 1990-an.
Meta enggan mengulas perkara itu pada Khamis. Sebelum ini, syarikat itu menyatakan sokongan terhadap piawaian persekutuan yang mewajibkan kedai aplikasi mengesahkan umur pengguna serta menggantikan undang-undang negeri berkaitan keselamatan kanak-kanak dalam talian.
Cadangan bahasa perundangan yang diteliti Reuters akan menjadikan syarikat dalam talian “kebal daripada saman atau liabiliti di bawah undang-undang negeri” bagi tuntutan yang berkaitan dengan keselamatan kanak-kanak dalam talian. Peruntukan itu turut disertakan bersama cadangan untuk mengatasi undang-undang negeri berkaitan keselamatan dan privasi kanak-kanak dalam talian.
Jika diluluskan, peruntukan itu akan menyebabkan semua saman yang masih berjalan ketika undang-undang itu berkuat kuasa terbatal, kata Julia Duncan daripada American Association for Justice, sebuah kumpulan yang mewakili peguam litigasi.
“Bahasa yang digunakan sangat jelas iaitu ia memberikan kekebalan terhadap setiap ibu bapa dan setiap daerah sekolah yang berusaha memastikan mana-mana syarikat AI atau media sosial bertanggungjawab atas kemudaratan yang berlaku kepada kanak-kanak,” kata Duncan.
Menurut sumber itu, Meta mencadangkan peruntukan itu sebagai balasan untuk menarik balik bantahannya terhadap KOSA.
Rang undang-undang itu, yang ditaja oleh Senator AS Marsha Blackburn dari Parti Republikan dan Richard Blumenthal dari Parti Demokrat, akan mewajibkan syarikat media sosial mengambil langkah munasabah bagi mencegah kemudaratan tertentu kepada golongan bawah umur, termasuk penggunaan platform secara kompulsif atau ketagihan.
Rang undang-undang itu kini menjadi sebahagian daripada rundingan antara Blackburn dan Rumah Putih untuk menggabungkan undang-undang keselamatan kanak-kanak dalam talian dengan satu peruntukan yang akan mengatasi sebahagian undang-undang negeri berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Jurucakap Blackburn, apabila ditanya mengenai peruntukan liabiliti yang diteliti Reuters, berkata: “Kami belum melihat cadangan bahasa berkenaan dan kami tidak akan mempertimbangkannya.”
Di bawah KOSA, syarikat teknologi perlu mengambil langkah berjaga-jaga dalam penggunaan ciri tertentu seperti tatalan tanpa henti, notifikasi aktiviti dan penapis foto yang mengubah penampilan.
Seorang wanita dari California memenangi kes terhadap Meta dan YouTube awal tahun ini apabila peguamnya berhujah yang kedua-dua syarikat berkenaan mengetahui ciri-ciri itu bersifat ketagihan dan memudaratkan golongan muda. Kedua-dua syarikat berhasrat untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu.
KOSA diluluskan di Senat AS dengan undian 91-3 pada 2024, tetapi gagal mendapat kelulusan di Dewan Perwakilan AS.
Rang undang-undang itu diperkenalkan semula tahun ini dengan sokongan Pemimpin Majoriti Senat AS John Thune dari Parti Republikan dan Pemimpin Minoriti Senat Chuck Schumer dari Parti Demokrat.
-- REUTERS