JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ Kedah Tahan Pengusaha Cuci Kereta Etnik Rohingya 

19/06/2026 04:19 PM

ALOR SETAR, 19 Jun (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan seorang lelaki etnik Rohingya yang dipercayai mengusahakan sebuah premis cuci kenderaan di Pekan Changlun, semalam, atas pelbagai kesalahan jalan raya. 

Pengarah JPJ Kedah Stien Van Lutam berkata lelaki berusia 49 tahun itu ditahan Unit Penguat Kuasa Bermotosikal (Falcon) JPJ dalam Op Pemandu Warganegara Asing (PeWA) di persimpangan lampu isyarat pekan itu pada 11.11 pagi.

"Pemeriksaan mendapati lelaki yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss itu tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Lesen Kenderaan Motor (LKM) motosikal tersebut juga telah tamat tempoh selain tidak mempunyai perlindungan insurans.

"Lelaki Rohingya itu mendakwa sedang dalam perjalanan untuk membeli barangan keperluan premisnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan 13 notis saman terhadap warga asing berkenaan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

"Motosikal berkenaan disita dan dibawa ke Depoh Sita JPJ Kedah untuk tindakan lanjut," katanya. 

Sementara itu, dalam kes berasingan Stien Van berkata seorang lagi lelaki Rohingya berusia 43 tahun ditahan ketika memandu kereta jenis Perodua Alza di sekitar Alor Setar pada 9.27 pagi, Rabu lepas. 

"Saman telah dikeluarkan kepada lelaki itu kerana tidak memiliki lesen memandu yang sah dan dia turut memaklumkan kenderaan tersebut disewa daripada pemilik warga Pakistan,” katanya.

Beliau berkata lagi pihaknya turut menyita kenderaan tersebut untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570481