KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan bersepadu dan penjenamaan, SBS Nexus Bhd tidak melihat penggunaan pesat kecerdasan buatan (AI) sebagai ancaman kepada perniagaannya, sebaliknya peluang meningkatkan kecekapan operasi dan menawarkan nilai tambah kepada pelanggan.
Pengarah Eksekutifnya, Warren Cheng berkata kumpulan itu telah mengintegrasikan pelbagai alat berasaskan AI ke dalam operasinya, khususnya bagi analisis data dan pembangunan kandungan, untuk meningkatkan produktiviti serta menyokong proses membuat keputusan.
“Pada masa ini, kami tidak berdepan sebarang kesukaran berkaitan penggunaan AI. Kami menyesuaikan operasi dengan penggunaan AI dan melanggan beberapa penyelesaian AI bagi meningkatkan kecekapan kerja,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan SBS Nexus hari ini.
Beliau berkata alat analitik data berasaskan AI membolehkan syarikat mengumpul dan menganalisis sejumlah besar data dengan lebih berkesan, sekali gus membantu pelanggan membuat keputusan pemasaran dan peruntukan bajet yang lebih tepat.
Selain analitik, SBS Nexus turut menggunakan alat pembangunan kandungan berasaskan AI bagi mempercepatkan penghasilan kandungan tanpa menjejaskan standard kualiti.
Cheng berkata AI digunakan sebagai alat sokongan dan bukannya untuk menggantikan kepakaran manusia, dengan peningkatan kecekapan yang diperoleh turut dimanfaatkan pelanggan tanpa kos tambahan.
Mengenai pelanggan utama kumpulan itu, beliau berkata jenama gaya hidup Christy Ng kekal dalam kalangan lima pelanggan terbesar SBS Nexus tahun ini berikutan pengembangan syarikat fesyen itu ke rantau Asia Tenggara, termasuk Kemboja.
Beliau berkata SBS Nexus turut memanfaatkan pengembangan serantau pelanggannya untuk meneroka peluang perniagaan di Singapura, Kemboja dan Filipina.
“Kami bekerjasama rapat dengan pasukan pelanggan kerana kemasukan ke pasaran baharu memerlukan lebih banyak data serta pemahaman yang mendalam mengenai budaya tempatan dan tingkah laku pengguna,” katanya.
Cheng berkata SBS Nexus turut memanfaatkan pengembangan serantau pelanggan-pelanggannya untuk meneroka peluang perniagaan di pasaran seperti Singapura, Kemboja dan Filipina.
Mengenai rancangan pengembangan kumpulan itu sendiri, beliau berkata SBS Nexus sedang menilai peluang di luar Malaysia menerusi kerjasama dengan agensi tempatan di pasaran serantau.
Beliau berkata syarikat itu sedang mengkaji amalan pasaran, ekosistem pembekal dan struktur margin sebelum membuat sebarang keputusan untuk mengembangkan operasi ke luar negara.
“Kami kini giat meninjau peluang di luar Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA