KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Sebanyak 52 usahawan Sabah menamatkan Program Pemecut eKelas Usahawan Maxis, program peningkatan kemahiran digital yang membantu memperluas perniagaan secara dalam talian dan berjaya mencatatkan purata peningkatan hasil bulanan sebanyak 57 peratus.
Maxis menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, program tiga bulan yang dilaksanakan dengan kerjasama Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) itu juga merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara Maxis serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi menyokong pembangunan keusahawanan tempatan.
“Dengan mengaplikasikan kemahiran pemasaran digital untuk mengembangkan perniagaan mereka secara dalam talian, kumpulan ini berjaya mencatatkan purata peningkatan hasil bulanan sebanyak 57 peratus.
“Terdiri daripada usahawan komuniti bandar dan luar bandar di seluruh Sabah, mereka mewakili pelbagai industri seperti makanan dan minuman, perkhidmatan serta kraf tangan,” menurut kenyataan itu.
Maxis turut memaklumkan melalui program itu, peserta menggunakan alat berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk membentuk bahan promosi, mengurus platform media sosial serta merangka strategi kandungan dengan lebih berkesan.
Menurut kenyataan itu, impak daripada program berkenaan peserta berjaya beralih daripada menghasilkan hantaran yang hanya tertumpu kepada produk, kepada pelbagai kandungan yang lebih menarik termasuklah video di sebalik tabir, testimoni pelanggan serta tip-tip pendidikan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Azizul Abdul Rahman berkata syarikat telekomunikasi itu berbangga dapat terus menyokong komuniti di Sabah dalam usaha mempertingkatkan keupayaan digital mereka.
“Adalah amat menggalakkan untuk melihat peserta memanfaatkan AI bagi mencipta kandungan yang lebih memberi kesan serta menjangkau pelanggan baharu secara dalam talian. Hal ini selari dengan pegangan kami, 'Esok Bermula Hari Ini’, dalam usaha memupuk jaringan yang membolehkan para usahawan berhubung dan meneroka peluang baharu,” katanya.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif SCENIC Mohd Lan Muslim, kejayaan kohort itu mencerminkan potensi komuniti perniagaan Sabah apabila diberikan sokongan yang padu.
“Kemajuan mereka membuktikan bagaimana penerimagunaan digital mampu memacu pertumbuhan yang bermakna, manakala kerjasama sesama rakan usahawan menggalakkan pembelajaran berterusan.
“Usaha ini selari dengan komitmen berterusan SCENIC untuk memperkukuh ekonomi kreatif dan ekosistem inovasi Sabah dengan melengkapkan perniagaan tempatan dengan pengetahuan, jaringan dan peluang yang diperlukan untuk berkembang dalam ekonomi yang semakin digital,” katanya.
Mohd Lan berkata SCENIC berbesar hati dapat bekerjasama dengan Maxis dalam membina ekosistem keusahawanan yang lebih inklusif dan berdaya tahan di Sabah.
Berkongsi pandangan, graduan yang juga pengasas Alternative Crafts Sylvia Desmond Lee menyifatkan impak program itu melangkaui pembangunan perniagaan menerusi penglibatannya dalam jaringan alumni.
“Program ini telah mengubah pendekatan saya terhadap pemasaran. Kini, saya menggunakan alat berasaskan AI untuk memahami pelanggan dengan lebih baik dan membina kehadiran dalam talian yang lebih kukuh.
“Ia juga memberi saya keyakinan untuk terus belajar daripada mereka yang melalui perjalanan yang sama. Komuniti ini turut menunjukkan saya bahawa pertumbuhan perniagaan bukan sekadar tentang kejayaan individu, tetapi juga tentang maju bersama,” katanya.
Maxis eKelas Usahawan adalah program peningkatan kemahiran digital yang direka untuk memberdayakan usahawan Malaysia terutama golongan B40, dengan alat dan kemahiran digital yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan dalam talian.
Kohort pertama menyaksikan 60 usahawan dari Wilayah Tengah menamatkan program pada April tahun lepas dan program itu kini diperluas ke Sabah bagi menyokong usahawan di Malaysia Timur.
-- BERNAMA