AM

Pulau Pinang Hargai Peranan Media Sebagai Benteng Utama Tangani Berita Palsu - Chow

19/06/2026 11:15 PM

BUTTERWORTH, 19 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghargai peranan penting pengamal media sebagai benteng utama dalam memastikan penyebaran maklumat yang tepat, berintegriti dan bebas daripada manipulasi.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata dalam era ledakan media sosial, kemajuan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), peranan wartawan profesional menjadi semakin kritikal dalam membendung penularan berita palsu serta memelihara kepercayaan masyarakat terhadap maklumat yang disampaikan.

“Tugas wartawan bukan sekadar melaporkan peristiwa tetapi juga memastikan masyarakat memahami kebenaran melalui proses semakan fakta serta pertimbangan editorial yang berintegriti.

“Anda semua ialah benteng utama negara dalam mengekang penularan berita palsu, membanteras manipulasi fakta dan memelihara integriti maklumat,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zulkifli Long, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste Expedito Loro Dias Ximenes dan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Arul Rajoo Durar Raj dan pengurusan tertinggi organisasi media tempatan serta antarabangsa.

Chow berkata dunia kewartawanan mempunyai makna tersendiri buat beliau kerana pernah berkhidmat sebagai subeditor sebelum menceburi bidang politik.

“Pengalaman berharga itu mengajar saya tentang realiti sebenar, cabaran getir dan tanggungjawab berat yang dipikul oleh pengamal media,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata media sentiasa menjadi rakan strategik Pulau Pinang sepanjang sejarah pembangunan negeri itu, termasuk ketika era perindustrian pada 1970-an, pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO serta transformasinya sebagai hab ekonomi dan teknologi utama negara.

Chow berkata selaras dengan Visi Penang 2030, kerajaan negeri komited memastikan penyampaian maklumat yang telus, tepat dan inklusif kepada seluruh rakyat.

Sementara itu, Chow berkata HAWANA menyediakan platform penting untuk memperkukuh kerjasama dalam kalangan pengamal media dan pemimpin komunikasi bagi meningkatkan persefahaman, kepercayaan serta solidariti serantau.

Beliau berkata kehadiran delegasi ASEAN mencerminkan hubungan persahabatan dan saling menghormati yang kukuh dalam rantau ini, justeru berharap HAWANA 2026 terus menjadi platform kukuh untuk menyatukan komuniti media, memperkasa kerjasama serantau serta mengangkat martabat kewartawanan yang beretika.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570634