Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri minggu dagangan dengan ditutup tinggi pada Jumaat, didorong oleh kebimbangan bekalan dan ketegangan yang kembali memuncak di Asia Barat, kata seorang peniaga.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata ketegangan yang kembali memuncak di Asia Barat memacu kenaikan pasaran tenaga, yang seterusnya merangsang pasaran minyak sawit.
“Kami mendapati paras sokongan melebihi RM4,500 setan dengan paras rintangan pada RM4,780 setan,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak Julai 2026 meningkat RM84 kepada RM4,594 setan, kontrak Ogos 2026 menokok RM78 kepada RM4,622 setan dan kontrak September 2026 menambah RM73 kepada RM4,646 setan.
Kontrak Oktober 2026 naik RM65 kepada RM4,668 setan, kontrak November 2026 melonjak RM61 kepada RM4,689 setan dan kontrak Disember 2026 meningkat RM52 kepada RM4,710 setan.
Jumlah dagangan merosot kepada 76,763 lot daripada 91,261 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 287,112 kontrak daripada 286,986 kontrak sebelumnya.
Sementara itu, harga MSM fizikal untuk Jun Selatan meningkat RM50 kepada RM4,560 setan.
-- BERNAMA