JENAYAH & MAHKAMAH

Palsukan Penculikan: Polis Tahan "Mangsa" Dan Seorang Lelaki

20/06/2026 09:58 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Polis menahan seorang wanita dipercayai memalsukan penculikannya bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM18,000.

​Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata wanita berusia 20-an itu pada awalnya ditemukan 'selamat' dalam serbuan Ops Scorpion di sebuah rumah di Taman Perniagaan Setia, Johor Bahru pada 3.30 petang.

​Beliau berkata operasi itu digerakkan susulan laporan dibuat ibu wanita berkenaan berusia 43 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, Sarawak, semalam yang mendakwa anak perempuannya diculik individu tidak dikenali.

Kumar berkata ​satu pasukan khas dari JSJ Bukit Aman dengan dibantu JSJ Sarawak dan Johor telah ditubuhkan bagi melaksanakan operasi menyelamat mangsa dengan menyasarkan kawasan di sekitar Johor Bahru, iaitu lokasi terakhir mangsa dikesan.

​"Hasil serbuan, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah di lokasi itu, serta merampas empat unit telefon bimbit," katanya dalam kenyataan malam ini.

Bagaimanapun, Kumar berkata siasatan awal mendapati naratif kejadian culik yang didakwa mangsa adalah meragukan, lantas membawa kepada penahanan wanita itu bagi membantu siasatan.

​Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 atas kesalahan menculik untuk wang tebusan yang membawa hukuman penjara hingga 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Permohonan reman bagi kedua-dua individu terbabit akan dibuat esok. 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571009