AM

Majlis Media Malaysia Santuni Pengamal Media Wilayah Utara

20/06/2026 10:46 PM

BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Majlis Media Malaysia (MMM) menyantuni pengamal media di wilayah utara pada majlis makan malam dan sesi suai kenal bersempena sambutan Hari Wartawan Malaysia (HAWANA) 2026 di sini.

Setiausaha MMM Radzi Razak berkata sesi itu yang menghimpunkan lebih 50 pengamal media dari Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis, termasuk ahli lembaga serta sekretariat MMM bertujuan mendekatkan badan berkenaan dengan pengamal media di luar Lembah Klang.

“Kami jarang berpeluang datang ke wilayah utara. Kebetulan Majlis Kemuncak HAWANA 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth berakhir petang tadi, kami mengambil kesempatan untuk mengadakan sesi suai kenal dan makan malam bersama rakan-rakan media di sini.

“Mereka boleh bercakap secara terus dengan kami mengenai apa juga isu atau masalah. Pada masa sama, kami memang sentiasa berinteraksi dengan semua pihak, namun sesi ini lebih kepada penglibatan langsung untuk berkenalan dengan MMM serta memahami secara lebih dekat siapa kami,” katanya kepada Bernama malam ini.

Radzi berkata sesi itu turut menjadi medan pertemuan santai pertama antara pengamal media dan kepimpinan baharu MMM selepas pelantikan Tan Sri Nallini Pathmanathan yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai pengerusi pada 15 Jun lepas.

Beliau berkata penganjuran program seumpama itu juga penting bagi memastikan MMM dilihat sebagai badan yang mewakili komuniti media di seluruh negara.

“Kami tidak mahu MMM dilihat eksklusif untuk Kuala Lumpur sahaja. Sebab itu kami turun ke wilayah-wilayah supaya rakan media di semua negeri dapat mengenali peranan dan fungsi MMM dengan lebih jelas,” katanya.

Beliau berkata selepas ini pihaknya turun ke wilayah-wilayah lain bagi mengadakan sesi libat urus bermula dengan Sarawak bersempena penganjuran Persidangan Media Sarawak bulan depan.

Beliau berkata pendekatan turun padang itu bukan sahaja mengeratkan silaturahim dalam kalangan pengamal media, malah membuka ruang dialog dua hala mengenai perkembangan serta cabaran industri media semasa.

Majlis Kemuncak HAWANA 2026 disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth petang tadi, menghimpunkan 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

Mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, HAWANA 2026 dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana bagi menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di negara ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571014